Pemulihan Debbie Wilson daripada Kecederaan Otak Traumatik dan Dementia, Serta Kisah Diabetes Yang Turut Lenyap
Perjalanan Pemulihan Debbie Wilson: Dari Trauma Otak dan Dementia ke Kehidupan Baharu Bersama Cannabis
Pada tahun 2013, saya telah didiagnosis dengan demensia, dan saya dapat merasakan diri saya semakin hilang. Saya tidak lagi ingat bagaimana untuk membuat kopi sendiri atau memberitahu anda bagaimana saya suka kopi saya.
Debbie Wilson, Ph.D., adalah seorang yang penuh semangat, ceria, dan sentiasa berfikiran positif, sifat-sifat yang mungkin tidak anda jangka daripada seorang wanita yang telah menghabiskan hampir tiga dekad berjuang melawan sawan, gegaran otak berulang, dan komplikasi perubatan yang rumit akibat kemalangan yang menamatkan kerjayanya dan meragut kebebasannya.
"Saya telah mengalami begitu banyak penyembuhan baru dan tidak dijangka yang bahkan saintis pun belum tahu," katanya dengan penuh semangat. "Saya hanya ingin memberi harapan kepada orang lain."
Hanya segelintir individu yang berada dalam situasi seperti Debbie, di mana beliau dapat berkongsi pengalaman peribadi tentang keberkesanan perubatan cannabis apabila semua pilihan perubatan lain tidak lagi berkesan.
Sejarah Pahit dan Kecederaan Traumatik
Kemalangan dua puluh lapan tahun yang lalu, ketika Debbie berusia 35 tahun, dia sedang membesarkan tiga orang anak (termasuk seorang yang masih memakai lampin) dan bekerja sebagai pegawai percubaan dan parol jenayah. Pada masa yang sama, dia baru sahaja menamatkan tahun kedua di sekolah undang-undang. Keluarganya keluar untuk meraikan pencapaian tersebut apabila sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Seorang remaja yang memandu trak pikap besar telah mengundurkan kenderaan dan melanggar tubuh kecilnya yang hanya setinggi 5’1” di tempat letak kereta.
Leher Debbie patah di beberapa bahagian. Dia kehilangan beberapa gigi hingga ke akar. Tanpa disedari oleh doktor di bilik kecemasan yang merawatnya dengan segera, dia sebenarnya mengalami kecederaan otak traumatik tertutup yang serius. Pada malam itu, dia telah dirawat dan dibenarkan pulang. Namun, dalam sehari dua, jelas kelihatan ada sesuatu yang tidak kena.
Gejala-gejala itu muncul hampir serta-merta. Kehilangan ingatan jangka pendek dan perubahan personaliti mula disedari oleh keluarganya dan rakan sekerja. Salah seorang daripada mereka berpendapat mungkin dia mengalami gangguan tekanan melampau. Seorang pakar neurologi kemudian menjalankan penilaian neuropsikologi selama dua hari, lapan jam di sebuah pusat rawatan pesakit dalam.
"Saya gagal dalam segala-galanya," kata Debbie dengan penuh kesedihan. "Dia(Doktor) kembali dan memberitahu saya, 'Saya ada berita baik dan berita buruk. Berita baiknya : Anda tidak mengalami gangguan saraf. Berita buruknya : Anda mengalami kerosakan otak yang kekal.'"
Dia dimasukkan ke hospital selama sebulan penuh.
Debbie terpaksa belajar semula untuk berjalan, bercakap, dan menulis. Semua kemahiran itu tidak kembali serta-merta. "Sebenarnya," katanya, "saya tidak dapat menulis ayat yang lengkap sehingga enam tahun lalu iaitu selepas saya akhirnya mula mengambil cannabis."
Kejang, Epilepsi Tidak Terkawal dan Gegaran Berulang
Semasa bulan pertama Debbie di hospital selepas kemalangan, jururawat dan doktor mencatatkan satu komplikasi dalam rekod perubatannya: kejang malam yang hanya berlaku ketika dia sedang tidur. "Saya rasa," katanya, "mereka berharap kejang itu kekal berlaku hanya pada waktu malam dan tidak muncul ketika saya sedang berjaga."
Namun, kejang itu akhirnya muncul juga ketika dia sedang berjaga.
Debbie akhirnya mengalami epilepsi sepenuhnya, termasuk jenis yang biasa kita bayangkan apabila mendengar istilah tersebut iaitu sawan tonik-klonik. Sawan ini menyebabkan seseorang hilang kesedaran dan jatuh ke tanah. Sawan yang berulang-ulang menambah parah kerosakan akibat kemalangan awal, kerana setiap kali dia jatuh, risiko mengalami gegaran otak sentiasa ada.
Selepas mengalami jatuh yang teruk dan hentakan kuat di kepala yang menjejaskan lobus temporal Debbie, dia mula mengalami sawan partial-complex yang mengancam nyawa. Sawan ini berpotensi menghentikan fungsi jantung dan paru-parunya. Malangnya, Debbie tidak layak untuk menjalani pembedahan kawalan sawan kerana terlalu banyak kawasan otaknya yang terjejas. Oleh itu, pada tahun 1996, dia menjadi orang pertama di Amerika Syarikat yang menggunakan anjing pengesan sawan yang bertauliah, seekor haiwan yang diakuinya telah menyelamatkan nyawanya lebih dari sekali. Pengalaman ini juga menjadikannya seorang penyokong tegar dan awal dalam memperluaskan perlindungan Akta Orang Kurang Upaya Amerika agar meliputi semua haiwan perkhidmatan, bukan hanya "anjing penunjuk jalan" sahaja.
Saya Cuba Segala Pilihan dan Gagal, Tiada Siapa Dapat Membantu Saya
Kesan fizikal, emosi, dan psikologi akibat kemalangan, sawan, gegaran otak, dan komplikasi lain semakin bertambah dari tahun ke tahun. Doktor telah memberikan pelbagai jenis ubat farmaseutikal untuk cuba mengawalnya. Pada satu ketika, Debbie mengambil 44 jenis ubat preskripsi, termasuk antidepresan, ubat anti-anxiety, dan dos besar benzodiazepin. Malah, dos yang diambilnya begitu tinggi sehingga dia terpaksa dikejarkan ke bilik kecemasan akibat keracunan ubat, namun sawannya masih tidak terkawal. Dia masih mengalami sehingga empat serangan sawan setiap minggu.
Kesan pada tubuh badan Debbie sangat besar. Usus besarnya berhenti berfungsi akibat beban ubat-ubatan yang berlebihan, dan terpaksa dibuang. Dia juga kehilangan pundi hempedu. Gigi yang masih ada terpaksa dicabut, dan banyak tisu gusi juga perlu dibuang. "Mereka bertanya kepada saya, 'Apa ubat yang anda ambil?' apabila mereka melihat semua kerosakan tisu dalam mulut saya," kata Debbie.
Tetapi apa yang membawa Debbie kepada cannabis bukanlah sawannya. Ia adalah sesuatu yang jauh lebih sederhana.
Sakit Kepala
"Ramai orang yang mengalami kecederaan kepala akan mengalami sakit kepala pasca-trauma," kata Debbie. "Dan saya adalah salah seorang daripada mereka. Selama dua puluh satu tahun, saya tidak pernah melalui satu hari pun tanpa sakit kepala. Saya bangun dengan sakit kepala dan tidur pun dengan sakit kepala. Saya telah menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di klinik sakit kepala terbaik dan terbesar di negara ini. Namun, mereka tidak mahu mencuba apa-apa yang saya belum cuba dan gagal. Jadi, pada tahun 2010, saya mendapati diri saya menaiki kereta api pulang sendirian, dari Chicago ke selatan Illinois. Dan saya bersumpah, ini adalah kebenaran saya : beberapa tahun lalu, anak remaja saya pernah memberitahu bahawa dia fikir cannabis mungkin dapat membantu sakit kepala saya. Tetapi saya selalu merasa bertanggungjawab bukan sahaja untuk anak-anak saya, tetapi juga untuk anak-anak lain yang sering berada di rumah saya. Saya rasa seperti perlu menunggu 'giliran saya'."
"Saya telah bekerja dalam bidang penguatkuasaan undang-undang sepanjang hidup saya, saya telah mempelajari undang-undang, undang-undang adalah segalanya bagi saya. Namun, dalam perjalanan pulang menaiki kereta api itu, Tuhan saya berbisik, 'Debbie, itu undang-undang manusia, bukan Undang-undang Saya.' Tiada keraguan dalam fikiran saya bahawa suara ilahi telah membimbing saya. Keesokan paginya, saya beritahu anak saya bahawa saya perlukan dia untuk mendapatkan sedikit cannabis untuk saya."
Dia mendapat kelegaan sakit kepala dengan segera. Dia berkata, jika itulah satu-satunya manfaat yang diperolehnya daripada penggunaan marijuana perubatan, dia sudah cukup berpuas hati dengannya.
Tetapi manfaatnya tidak berhenti di situ.
Dari Empat Sawan Seminggu ke Empat Setahun
Salah satu pilihan yang Debbie cuba ketika bertahun-tahun berjuang dengan sawan epilepsi adalah menggunakan vagal nerve stimulator. Alat ini adalah peranti yang boleh ditanam dalam badan untuk mengganggu isyarat elektrik abnormal dalam otak, dengan tujuan untuk menghentikan sawan semasa ia berlaku. Walaupun pilihan ini melibatkan prosedur yang invasif dan berisiko kerana memerlukan pembedahan pada otak, ia hanya mampu mengurangkan kejadian sawan sekitar 30 peratus sahaja.
Pada tahun pertama menggunakan cannabis, sawan grand mal (tonik-klonik) Debbie berkurang hampir 1000 peratus. Dahulu, dia mengalami empat serangan setiap minggu, tetapi kini hanya empat serangan dalam setahun penuh. Namun, apabila dia mula mendapat akses kepada cannabis perubatan dengan CBD melalui sebuah dispensari di Michigan, anak lelakinya yang juga penjaganya, segera melihat kawalan yang lebih baik terhadap sawan separa-kompleks yang dialaminya.
"Ibu," katanya dengan penuh harapan, "Kita perlu berpindah ke Oregon." Ini kerana Illinois bukanlah negeri yang membenarkan penggunaan perubatan cannabis atas dasar belas kasihan. *Nota : *“Compassionate use” bermaksud undang-undang yang membenarkan pesakit kronik atau parah (seperti barah, epilepsi, atau PTSD) menggunakan ubat yang masih dikawal (termasuk cannabis) atas dasar belas kasihan yakni, untuk mengurangkan penderitaan bila rawatan biasa tidak berkesan.
Pada ketika ini, Debbie telah disahkan menghidap demensia. Doktor yang merawatnya mencadangkan penggunaan THCA dalam bentuk cannabis mentah, sebesar sebutir beras, yang diambil dua kali sehari. Selain itu, Debbie juga mengambil THC pada waktu malam sahaja. Ini kerana, pengambilan THC yang berlebihan boleh mencetuskan sawan grand mal pada pesakit epilepsi.
Peningkatan Lebih Baik dan Pengurangan Ubat
"Setiap orang mengalami kesan yang berbeza," kata Debbie dengan penuh keyakinan. "Pengamal perubatan saya memberitahu bahawa saya memerlukan THCA untuk penyembuhan otak." Dan itulah yang dialaminya. Dalam masa 72 jam selepas mula mengambil cannabis mentah, dia berkata, "Perubahan saya sangat ketara dari segi kognitif, seperti siang dan malam." Anaknya dan menantu perempuannya turut menjadi saksi kepada perubahan ini.
Keputusan ujian objektif telah mengesahkan persepsi ini.
Selepas setahun menggunakan THCA, ujian neuropsikologi semula menunjukkan peningkatan luar biasa dalam fungsi kognitif Debbie. Pada mulanya, keputusan ujian beliau menunjukkan gangguan yang ketara dan beliau berada dalam peratusan terendah untuk kelima-lima domain ujian tersebut. Namun, ujian semula menunjukkan beliau kini berada dalam julat normal untuk tiga daripada lima domain yang tidak terjejas oleh demensia. Walaupun demensia masih ada, terdapat juga peningkatan dalam dua domain tersebut. Baru-baru ini, Debbie menjalani MRI dan keputusannya adalah normal, MRI otak normal pertama sejak kemalangan yang dialaminya 28 tahun lalu. Begitu juga dengan keputusan elektroensefalografi (EEG) yang menunjukkan hasil normal buat pertama kali selepas kemalangan tersebut. Dan bagaimana dengan 44 jenis ubat yang Debbie ambil sebelum menggunakan cannabis?
Hari ini, dia hanya mengambil satu jenis ubat sahaja iaitu ubat tekanan darah. Dia juga telah berjaya mengurangkan dos benzodiazepine terakhirnya dari 16 miligram sehari kepada hanya satu miligram. (Doktor-doktornya menasihatkan bahawa selepas bertahun-tahun, tiada manfaat untuk berhenti sepenuhnya daripada ubat tersebut, dan risikonya lebih besar daripada faedah yang diperoleh.)
Diabetes, Neuropati, dan Peningkatan Kemahiran Motor Halus
"Dua tahun lalu, saya berjumpa dengan doktor saya. Dia berkata, 'Debbie, keputusan ujian darah awak langsung tak masuk akal, sebab ia tak sepadan dengan diagnosis awak.' Pada mulanya, Debbie tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh doktornya. Namun kini, semuanya semakin jelas apabila kesan cannabis mentah terhadap simptom klinikal dan penanda penyakitnya terus kelihatan.
Diabetes terkawal sepenuhnya : Selama tiga tahun kebelakangan ini, sejak memulakan rejimen penuh perubatan cannabis, Debbie, yang telah didiagnosis dengan diabetes dua belas tahun lalu, tidak menunjukkan sebarang tanda klinikal penyakit tersebut. Ujian darahnya menunjukkan tahap A1c (penunjuk terbaik untuk tahap gula darah jangka panjang) berada dalam julat normal. Menariknya, dia tidak mengikuti diet khas dan tidak mengambil ubat lain untuk diabetes.
Deria rasa muncul kembali di tangannya : Akibat kecederaan otak asal atau kecederaan leher, Debbie kehilangan keupayaan untuk merasai sakit di tangannya, menyebabkan kecederaan seperti luka dan melecur yang menghalangnya bekerja di dapur. Namun, selepas setahun menggunakan cannabis mentah, dia baru-baru ini kembali merasai sentuhan di kedua-dua tangannya, selepas dua puluh lima tahun sejak kecederaan asal. (Neuropati dan kesakitan neuropatik juga adalah komplikasi jangka panjang yang biasa bagi diabetes.)
Pemulihan kemahiran motor halus : Selain daripada rasa yang kembali, selepas mengambil cannabis mentah, Debbie juga telah mendapat semula keupayaan menggunakan tangannya untuk melakukan perkara yang sering dianggap remeh oleh ramai orang. Dia kini boleh mengambil syiling, mengancing dan membuka kancing baju serta coli sendiri, dan menzip jaketnya serta jaket cucu-cucunya. "Saya hanya mahukan kawalan sakit kepala," kata Debbie. "Semua penyembuhan neuro lain ini? Ia baru dan tidak dijangka. Saya mahu orang ramai tahu tentangnya terutamanya para profesional perubatan."
"Apabila saya berjumpa dengan pakar neurologi saya sendiri selepas empat tahun bebas daripada sawan, dia langsung tidak memberikan senyuman, dan saya benar-benar terkejut. Pada saat itulah saya sedar bahawa kita perlu berusaha lebih keras untuk menyebarkan maklumat ini. Kita perlu mendidik para profesional perubatan tentang potensi yang ada pada cannabis."
Sumbangan dan Perkongsian Mengenai Cannabis
Sebagai usaha beliau dalam bidang ini, Debbie menguruskan sebuah komuniti di Facebook yang dinamakan Neurology and Cannabinoids. Komuniti ini mempunyai lebih daripada 90,000 pengikut! Di sini, Debbie berkongsi dan menyebarkan berita serta kajian terkini mengenai perubatan cannabis.
Selepas perbualan yang meluas, hanya tinggal satu soalan terakhir untuk Debbie : Bagaimana anda mengambil kopi anda?
"Awak tahu tak, sayang?" dia ketawa tanpa ragu-ragu. "Saya ambil dengan satu setengah sudu gula dan sedikit susu!"









Post a Comment