Cannabidiol (CBD) : Apa Yang Kita Tahu dan Apa Yang Tidak





Pengenalan kepada Cannabidiol (CBD) 

Cannabidiol (CBD) sering menjadi topik hangat di media, dan mungkin anda pernah melihatnya dicadangkan sebagai penambah tenaga dalam smoothie selepas bersenam atau kopi pagi anda. Malah, anda boleh membeli bra sukan dirumus bersama CBD. Namun, apakah sebenarnya CBD ini? Dan mengapa ia begitu popular? Mari kita terokai bersama!






Bagaimana Cannabidiol Berbeza daripada Marijuana, Cannabis, dan Hemp?

CBD, atau cannabidiol, adalah bahan aktif kedua paling banyak ditemui dalam cannabis (marijuana). Walaupun CBD merupakan komponen penting dalam marijuana perubatan, ia sebenarnya diperoleh terus daripada tumbuhan hemp, yang merupakan keluarga kepada marijuana, atau dihasilkan di makmal. CBD adalah salah satu daripada ratusan komponen dalam marijuana, tetapi CBD itu sendiri tidak menyebabkan khayal atau rasa 'high'.

Menurut laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia, "Pada manusia, CBD tidak menunjukkan sebarang kesan yang menunjukkan potensi penyalahgunaan atau ketagihan. Sehingga kini, tiada bukti masalah kesihatan awam yang berkaitan dengan penggunaan CBD tulen." Satu kajian terkini dalam jurnal Neuropsychopharmacology menyimpulkan bahawa "penggunaan CBD secara akut sahaja tidak mungkin menjejaskan fungsi harian atau prestasi di tempat kerja secara signifikan." Dengan kata lain, CBD dianggap selamat dan tidak menimbulkan risiko ketagihan. Kajian ini memberi keyakinan kepada kita bahawa penggunaan CBD tidak akan mengganggu aktiviti harian atau produktiviti kita di tempat kerja.








Adakah Cannabidiol (CBD) Sah di sisi Undang-Undang?

CBD kini mudah didapati di kebanyakan kawasan di Amerika Syarikat, walaupun status undang-undangnya masih berubah-ubah. Kesemua 50 negeri di Amerika mempunyai undang-undang yang menghalalkan CBD, tetapi dengan tahap sekatan yang berbeza-beza. Pada Disember 2015, FDA telah melonggarkan syarat peraturan untuk membolehkan penyelidik menjalankan ujian klinikal CBD. Kemudian, pada tahun 2018, Akta Ladang (Farm Bill) telah menghalalkan hemp di Amerika Syarikat. Ini menjadikan usaha untuk mengekalkan CBD sebagai bahan terlarang yang tidak sah di sisi undang-undang hampir mustahil — seolah-olah menghalalkan buah oren, tetapi melarang jus oren!

Rang Undang-Undang Ladang telah mengeluarkan semua produk yang berasal daripada hemp, termasuk CBD, daripada Akta Bahan Kawalan yang menjadikan pemilikan dadah sebagai satu jenayah. Ini bermakna, secara asasnya, CBD adalah sah jika ia diperoleh daripada hemp, tetapi tidak sah jika ia berasal daripada cannabis (marijuana) — walaupun molekulnya sama sahaja. Pada masa ini, ramai orang mendapatkan CBD secara dalam talian tanpa memerlukan lesen marijuana perubatan, dan ini adalah sah di kebanyakan negeri.

Di United Kingdom, CBD adalah sah selagi ia dihasilkan daripada hemp industri berlesen dan mengandungi kurang daripada 1 mg THC per produk, dengan pengawalseliaan tambahan oleh Food Standards Agency (FSA) untuk produk edaran. Namun, di Malaysia, CBD masih tergolong di bawah kawalan ketat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, dan penggunaannya hanya dibenarkan dalam konteks penyelidikan atau rawatan perubatan tertentu dengan kelulusan khas daripada pihak berkuasa.








Bukti Manfaat Kesihatan Cannabidiol

CBD sering disebut-sebut sebagai penyelesaian untuk pelbagai masalah kesihatan. Namun, bukti saintifik yang paling kukuh adalah keberkesanannya dalam merawat sindrom epilepsi kanak-kanak yang paling sukar, seperti sindrom Dravet dan sindrom Lennox-Gastaut (LGS). Kedua-dua sindrom ini biasanya tidak memberi respons yang baik terhadap ubat anti-sawan. Dalam banyak kajian, CBD berjaya mengurangkan bilangan sawan, dan dalam beberapa kes, menghentikannya sepenuhnya. Epidiolex, yang terutamanya terdiri daripada CBD, adalah ubat pertama yang berasal dari cannabis yang diluluskan oleh FDA untuk merawat keadaan ini.

Kajian haiwan, dan laporan diri atau penyelidikan pada manusia, mencadangkan CBD mungkin juga membantu masalah berikut :

Anxiety : Kajian dan ujian klinikal sedang meneroka laporan umum bahawa CBD boleh mengurangkan anxiety. Ini adalah berita baik bagi mereka yang sering merasa cemas.

Insomnia : Kajian mencadangkan bahawa CBD mungkin dapat membantu anda bukan sahaja untuk mudah tidur, tetapi juga untuk kekal tidur sepanjang malam. Ini sebahagiannya kerana CBD boleh membantu mengatasi kesakitan kronik dan anxiety yang sering mengganggu tidur.

Kesakitan Kronik : Semakin banyak kajian manusia mengesahkan dakwaan bahawa CBD membantu mengawal kesakitan. Satu kajian haiwan dari European Journal of Pain mencadangkan bahawa CBD boleh membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan akibat arthritis apabila disapu pada kulit. Penyelidikan lain mengenal pasti bagaimana CBD mungkin menghalang kesakitan keradangan dan neuropatik, yang sukar untuk dirawat.

Ketagihan : Menurut beberapa kajian pada manusia, CBD boleh membantu mengurangkan keinginan untuk tembakau dan heroin dalam keadaan tertentu. Model haiwan mengenai ketagihan mencadangkan bahawa ia juga mungkin membantu mengurangkan keinginan untuk bahan ketagihan lain seperti alkohol, cannabis, opiat, dan perangsang.








Adakah CBD Selamat Digunakan?

CBD biasanya dianggap selamat, tetapi ada beberapa kesan sampingan yang mungkin berlaku. Antaranya termasuk rasa mual, keletihan, dan mudah marah. CBD boleh meningkatkan tahap ubat pencair darah dan ubat-ubatan lain dalam darah anda. Ini berlaku kerana CBD bersaing dengan enzim hati yang memecahkan ubat-ubatan tersebut. Kesan ini serupa dengan apa yang berlaku apabila anda mengambil limau gedang bersama ubat tertentu. Interaksi ini amat penting untuk diberi perhatian jika anda sedang mengambil ubat pencair darah, ubat anti-epilepsi, atau ubat imunosupresan, kerana kesemua ubat ini memerlukan tahap yang stabil dalam darah anda.

Pengambilan dos tinggi CBD mungkin menyebabkan keabnormalan dalam ujian darah berkaitan hati. Perkara ini sama seperti kesan yang boleh berlaku dengan banyak ubat bukan preskripsi lain, seperti acetaminophen (Tylenol). Oleh itu, adalah penting untuk memberitahu doktor anda jika anda kerap menggunakan CBD. Dengan cara ini, doktor boleh memantau enzim hati anda dari semasa ke semasa.

Satu kebimbangan dari sudut keselamatan yang ketara mengenai CBD adalah ia kebanyakannya dipasarkan dan dijual sebagai suplemen, bukan sebagai ubat. Pada masa ini, FDA tidak mengawal selia keselamatan dan ketulenan suplemen pemakanan, dan sebenarnya tiada siapa yang benar-benar mengawal selia pasaran CBD. Oleh itu, anda tidak boleh pasti bahawa produk yang anda beli mengandungi bahan aktif pada dos yang dinyatakan pada label.

Selain itu, produk yang anda beli tersebut mungkin mengandungi elemen lain yang tidak diketahui. Jika anda membeli CBD, adalah paling selamat untuk memastikan terdapat ujian makmal bebas yang disahkan melalui COA (sijil analisis) yang sepatutnya disertakan dengan setiap produk CBD. Pastikan anda memeriksa keabsahan ujian tersebut untuk memastikan kualiti dan keselamatan produk yang anda gunakan.








Bagaimana Cara Mengambil CBD?

CBD hadir dalam pelbagai bentuk, seperti minyak, tincture, kapsul, patch, vape, dan persediaan topikal untuk kegunaan pada kulit. Jika anda ingin mengurangkan keradangan dan melegakan kesakitan otot serta sendi, minyak, losyen, atau krim yang diinfus dengan CBD — malah bebola aromaterapi mandian — mungkin pilihan terbaik. Sebagai alternatif, patch (tampalan CBD) atau tincture (titisan/semburan) yang direka untuk diletakkan di bawah lidah membolehkan CBD memasuki aliran darah secara langsung. Segelintir doktor tidak mengesyorkan menghisap rokok atau vape yang dicampurkan dengan mana-mana bahan termasuklah CBD.

Di luar Amerika Syarikat, ubat preskripsi Sativex, yang menggunakan CBD sebagai bahan aktif, telah diluluskan untuk merawat kekejangan otot yang berkaitan dengan multiple sclerosis dan juga untuk kesakitan akibat kanser. Sementara itu, di dalam Amerika Syarikat, Epidiolex telah mendapat kelulusan untuk merawat jenis-jenis tertentu epilepsi dan tuberous sclerosis.







Kesimpulan Tentang Cannabidiol

Beberapa pengeluar CBD telah mendapat perhatian pihak berkuasa kerana membuat dakwaan yang belum dikaji kebenarannya secara menyeluruh — seperti menyatakan bahawa CBD adalah penawar untuk kanser atau COVID-19, yang jelas tidak benar. Walaupun begitu, lebih banyak kajian diperlukan, CBD menunjukkan potensi sebagai pilihan yang berguna dan agak selamat untuk menguruskan masalah seperti anxiety, insomnia, dan kesakitan kronik. Namun, tanpa bukti berkualiti tinggi daripada kajian manusia, kita tidak dapat menentukan dos yang berkesan. Tambahan pula, kerana CBD biasanya tersedia sebagai suplemen yang tidak dikawal, sukar untuk mengetahui dengan tepat apa yang anda perolehi atau untuk menjalankan kajian dengan tepat.

Jika anda memutuskan untuk mencuba CBD, pastikan anda mendapatkannya daripada sumber yang boleh dipercayai. Jangan lupa, berbincanglah dengan doktor anda mengenai penggunaan CBD atau sebarang suplemen lain. Ini penting untuk memastikan ia tidak akan memberi mengganggu/meneutralkan kesan ubat-ubatan lain yang anda ambil.



Post a Comment

To Top