Akhirnya, Bukti Sebenar Bagaimana Ekstrak Cannabis Standard Mengubah Lanskap Kesakitan Kronik
Penemuan Perubatan Baharu: Ekstrak Cannabis untuk Kesakitan Kronik
Kini terdapat satu penemuan perubatan yang mengagumkan dalam penggunaan cannabis untuk pesakit kesakitan kronik!
Setelah berdekad-dekad kita hanya bergantung kepada bukti anekdot, promosi industri, dan kajian berkualiti rendah yang tidak dapat membuktikan dengan jelas bahawa cannabis boleh membantu mengurangkan kesakitan, akhirnya kita kini mempunyai apa yang para penyelidik panggil sebagai "bukti berkualiti tinggi pertama bahawa sesuatu dalam tumbuhan cannabis boleh merawat kesakitan."
Satu ujian klinikal fasa 3 yang dianggap sebagai piawaian emas dalam penyelidikan perubatan telah diterbitkan dalam jurnal Nature Medicine. Kajian ini menunjukkan bahawa ekstrak cannabis yang dibangunkan khas, dikenali sebagai VER-01, memberikan kelegaan yang ketara untuk sakit belakang bawah kronik. Ini bukanlah dakwaan pemasaran dari mana-mana dispensari atau testimoni pesakit semata-mata. Ini adalah sains yang teliti dan dikawal dengan plasebo, melibatkan lebih daripada 800 peserta, yang menunjukkan pengurangan kesakitan yang dapat diukur dan berpanjangan.
Fikirkan sejenak tentang ini. Sakit belakang bawah yang kronik adalah punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia, menjejaskan lebih daripada setengah bilion orang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Pilihan rawatan yang ada sekarang terhad kepada ubat penahan sakit biasa seperti ibuprofen (yang boleh menyebabkan kesan sampingan serius jika digunakan dalam jangka masa panjang) atau opioid (yang sangat berisiko menyebabkan ketagihan dan telah menyebabkan kematian ratusan ribu rakyat Amerika). Kini, terdapat bukti bahawa ekstrak cannabis boleh memberikan kelegaan yang bermakna tanpa risiko ketagihan atau kesan sampingan yang berbahaya.
Keputusan Kajian
Kajian tersebut menunjukkan bahawa peserta yang mengambil VER-01 melaporkan pengurangan kesakitan sebanyak 1.9 mata pada skala 10 mata selepas 12 minggu, berbanding hanya 0.6 mata bagi kumpulan yang mengambil placebo. Menariknya, selepas enam bulan, peningkatan ini bertambah kepada 2.9 mata. Selain itu, mereka juga melaporkan tidur yang lebih baik, fungsi fizikal yang lebih baik, dan kualiti hidup yang lebih meningkat.
Andrew Moore, seorang bekas penyelidik kesakitan di Universiti Oxford yang tidak terlibat dalam kajian ini, menyifatkannya sebagai "hebat" dan "perkara terbaik yang pernah diperolehi." Beliau menekankan bahawa ini adalah bukti penting yang membuka jalan kepada penggunaan cannabis sebagai ubat.
Namun, sebelum kedai-kedai ubat mula menggantung kajian ini di dinding mereka dan mendakwa bahawa semua cannabis boleh merawat kesakitan, kita perlu jelas tentang apa yang sebenarnya dimaksudkan. Ini bukan sekadar marijuana biasa , ia adalah ekstrak yang dibangunkan secara khusus dan diseragamkan untuk memenuhi piawaian farmaseutikal. Seperti yang dinyatakan oleh seorang penyelidik, membandingkan marijuana biasa dengan VER-01 adalah seperti membandingkan kacang hazel dengan Nutella di mana mereka mungkin berkongsi asas yang sama, tetapi tidak boleh disamakan.
Mari kita kupas apa sebenarnya yang ditemui oleh kajian ini, apa maknanya untuk jutaan orang yang menderita kesakitan kronik, dan mengapa inilah sebabnya mengapa cannabis perlu dikeluarkan dari senarai bahan terlarang dan dikaji dengan lebih mendalam.
Penemuan Kajian Sebenar : Perincian yang Penting
Kajian ini, yang diketuai oleh Profesor Matthias Karst dari Hannover Medical School di Jerman, melibatkan lebih daripada 800 peserta yang mengalami kesakitan kronik di bahagian bawah belakang(pinggang). Mereka ini telah mencuba pelbagai ubat bukan opioid tetapi masih tidak mendapat kelegaan. Ini adalah perkara penting untuk difahami iaitu mereka bukanlah pesakit dengan sakit ringan. Sebaliknya, mereka adalah pesakit yang mana rawatan standard tidak berkesan buat mereka, menyebabkan mereka terpaksa memilih antara hidup dengan kesakitan yang menjejaskan kehidupan atau beralih kepada penggunaan opioid.
Peserta kajian telah dibahagikan secara rawak untuk menerima sama ada VER-01 atau plasebo selama 12 minggu. Reka bentuk kajian ini adalah double-blind dan dikawal plasebo, yang bermaksud bahawa baik peserta mahupun penyelidik tidak tahu siapa yang menerima rawatan sebenar atau plasebo. Ini membantu menghapuskan sebarang bias dan kesan jangkaan yang sering mengganggu penyelidikan terdahulu mengenai kesakitan dan cannabis.
VER-01 mengandungi 2.5 miligram THC bagi setiap dos – iaitu komponen utama yang menyebabkan kesan psikoaktif dalam marijuana. Namun yang menariknya, peserta melaporkan bahawa mereka tidak mengalami sebarang perasaan khayal atau "high" sepanjang kajian dijalankan. Dos ini nampaknya mencapai tahap terapeutik yang ideal di mana kelegaan kesakitan berlaku tanpa menyebabkan khayal.
Keputusan kajian ini menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi statistik dan amat bermakna dari sudut klinikal. Selepas 12 minggu, kumpulan VER-01 melaporkan pengurangan kesakitan sebanyak 1.9 mata pada skala 10 mata, berbanding hanya 0.6 mata bagi kumpulan placebo. Mungkin perbezaan 1.3 mata ini kedengaran tidak begitu besar, tetapi dalam penyelidikan kesakitan kronik, peningkatan sebanyak 1-2 mata dianggap signifikan dari segi klinikal. Ini bermakna perubahan tersebut benar-benar memberi impak yang bermakna dalam kehidupan harian pesakit.
Lebih mengagumkan, peningkatan ini berterusan dari masa ke masa. Selepas enam bulan, pengguna VER-01 melaporkan pengurangan kesakitan sebanyak 2.9 mata. Manfaat yang berterusan tanpa perkembangan toleransi ini sangat penting ketika mana banyak ubat penahan sakit menjadi kurang berkesan dari masa ke masa, memerlukan peningkatan dos yang membawa kepada kesan sampingan yang lebih banyak.
Peningkatan Kualiti Hidup dan Manfaat Sebenar
Selain daripada skor kesakitan, para peserta melaporkan peningkatan dalam kualiti tidur, fungsi fizikal yang lebih baik, dan peningkatan keseluruhan dalam kualiti hidup mereka. Bagi sesiapa yang pernah mengalami kesakitan kronik, mereka pasti tahu betapa ia mempengaruhi segala aspek kehidupan – kebolehan untuk bekerja, bersenam, bersosial, dan menikmati hidup. Hakikat bahawa ekstrak ini berjaya meningkatkan aspek-aspek lain ini menunjukkan manfaat sebenar yang lebih luas daripada sekadar pengurangan kesakitan secara angka.
Kesan sampingan yang dialami adalah ringan dan sementara iaitu rasa pening, mengantuk, mulut kering, dan sedikit loya, yang semuanya berkurangan dari masa ke masa. Apa yang penting, kajian ini tidak menemui sebarang bukti ketagihan atau kejadian buruk yang serius. Profil keselamatan ini sangat berbeza dengan opioid, yang mempunyai risiko ketagihan, dos berlebihan, dan kematian yang tinggi.
Profesor Karst menekankan bahawa VER-01 telah dibangunkan khusus untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa perubatan bagi kegunaan preskripsi. Ini bukan sekadar cannabis biasa, ia adalah produk farmaseutikal yang telah distandardkan dengan potensi, ketulenan, dan kawalan kualiti yang konsisten. Dengan ini, doktor boleh memberikannya sebagai preskripsi dengan selamat dan penuh keyakinan.
Piawaian ini adalah sesuatu yang kurang dalam kajian terdahulu mengenai kesakitan dan cannabis. Apabila kajian menggunakan produk cannabis yang berbeza-beza dengan tahap THC yang tidak konsisten, pencemaran yang tidak diketahui, serta nisbah cannabinoid dan terpenes yang berbeza, hasilnya menjadi sukar untuk diulang atau ditafsirkan. VER-01 menyelesaikan masalah ini dengan menyediakan produk yang konsisten dan memenuhi piawaian farmaseutikal.
Para penyelidik dengan teliti menekankan bahawa bukti ini khusus untuk VER-01, dan tidak terpakai kepada semua produk cannabis. Seperti yang ditekankan oleh Karst, ini bukanlah "bukti bahawa semua produk cannabis atau CBD akan memberikan manfaat yang sama." Pelbagai jenis strain, cara penyediaan yang berbeza, dan dos yang berlainan – semua faktor ini sangat penting dalam aplikasi perubatan.
Pasaran Kesakitan Kronik : Apa yang Dipertaruhkan
Untuk benar-benar memahami kepentingan penemuan ini, kita perlu melihat dengan lebih dekat pasaran besar bagi rawatan kesakitan kronik dan apa yang dipertaruhkan oleh syarikat farmaseutikal. Ini adalah satu bidang yang sangat penting, di mana banyak pihak berkepentingan sedang berlumba-lumba untuk menawarkan penyelesaian terbaik.
Sakit pinggang atau sakit belakang bawah yang kronik menjejaskan lebih daripada 540 juta orang di seluruh dunia, menurut anggaran WHO. Di Amerika Syarikat sahaja, kira-kira 65 juta orang melaporkan mengalami episod sakit belakang baru-baru ini, dengan 16 juta orang dewasa mengalami sakit belakang yang berterusan atau kronik sehingga menghalang aktiviti harian mereka. Ini bukan sekadar krisis kesihatan, ia juga merupakan bencana ekonomi yang menelan belanja ekonomi AS kira-kira $635 bilion setiap tahun dalam kos perubatan dan kehilangan produktiviti.
Pasaran farmaseutikal untuk pengurusan kesakitan adalah sangat besar. Pada tahun 2023, nilai pasaran global untuk terapi pengurusan kesakitan dianggarkan sekitar $83 bilion dan dijangka meningkat melebihi $115 bilion menjelang tahun 2030. Dalam pasaran ini, rawatan untuk sakit belakang kronik merupakan segmen yang signifikan. Ubat-ubatan seperti non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti ibuprofen dan opioid preskripsi mendominasi jualan.
Sebelum krisis opioid mencetuskan sekatan dalam preskripsi, ubat penahan sakit opioid sahaja telah menjana kira-kira $24 bilion dalam jualan tahunan. Walaupun terdapat penurunan baru-baru ini, preskripsi opioid untuk kesakitan kronik masih kerap diberikan, walaupun risikonya telah diketahui dengan baik. Pada masa yang sama, NSAIDs juga menjana jualan bernilai berbilion dolar setiap tahun, walaupun penggunaannya dalam jangka panjang boleh menyebabkan risiko seperti pendarahan gastrousus, kejadian kardiovaskular, dan kerosakan buah pinggang.
Inilah bahagian yang menarik bagi syarikat farmaseutikal iaitu jika VER-01 atau ubat berasaskan cannabis yang serupa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa dan diterima dalam klinikal, ia berpotensi menguasai sebahagian besar pasaran ini. Anggaran konservatif menunjukkan bahawa walaupun hanya menguasai 10-15% daripada pasaran ubat untuk sakit kronik, ia boleh mewakili jualan tahunan sebanyak $8-12 bilion di seluruh dunia.
Rahsia dan Niat Jahat di Sebalik Halangan
Namun, ancaman terhadap pendapatan syarikat farmaseutikal sedia ada bukan hanya datang dari persaingan langsung. Ubat penahan sakit berasaskan cannabis berpotensi untuk mengubah secara mendasar corak preskripsi ubat. Pada masa ini, doktor menghadapi dilema sama ada untuk memberi preskripsi NSAIDs yang mempunyai risiko jangka panjang, atau opioid yang berpotensi menyebabkan ketagihan. Alternatif berasaskan cannabis yang mampu memberikan kelegaan sakit yang berkesan tanpa risiko serius ini boleh menjadi pilihan rawatan utama. Ini berkemungkinan menggantikan jualan ubat bernilai berbilion ringgit yang sedia ada.
Dinamika pasaran menjelaskan mengapa syarikat farmaseutikal sepanjang sejarah menentang penyelidikan dan pengesahan cannabis. Ia bukanlah semata-mata kerana kebimbangan perubatan, tetapi lebih kepada melindungi aliran pendapatan daripada ubat-ubatan yang mungkin boleh digantikan oleh cannabis.
Pertimbangkan angka-angka ini : Celebrex (celecoxib) dari Pfizer, yang merupakan COX-2 inhibitor digunakan untuk merawat kesakitan kronik, pernah mencapai jualan tahunan melebihi $2 bilion pada kemuncaknya. OxyContin dari Purdue Pharma pula menjana lebih $3 bilion setiap tahun sebelum peranannya dalam krisis opioid menjadi jelas. Banyak lagi ubat penahan sakit lain yang turut menghasilkan pendapatan tahunan dari ratusan juta hingga berbilion dolar.
Jika ubat berasaskan cannabis terbukti berkesan seperti yang dicadangkan oleh kajian ini, dengan profil keselamatan yang lebih baik berbanding pilihan sedia ada, gangguan pasaran pasti tidak dapat dielakkan. Syarikat insurans akan cenderung memilih alternatif yang lebih murah dan selamat. Doktor pula akan lebih suka menetapkan ubat yang mempunyai risiko lebih rendah. Pesakit tentunya akan memilih rawatan yang mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit dan tiada risiko ketagihan.
Ini menjelaskan mengapa selama beberapa dekad, terdapat penentangan terhadap penyelidikan cannabis daripada kumpulan lobi industri farmaseutikal. Ia bukanlah tentang melindungi kesihatan awam tetapi lebih kepada melindungi bahagian pasaran mereka. Setiap kajian sah yang menunjukkan bahawa cannabis boleh merawat kesakitan dengan berkesan akan dianggap ancaman kepada aliran pendapatan yang sudah lama terjamin dan bernilai berbilion dolar setiap tahun.
Mengapa Cannabis Perlu Dikeluarkan Segera daripada Senarai Bahan Terlarang dan Tidak Boleh Ditangguhkan
Kajian daripada Nature Medicine ini menunjukkan dengan jelas mengapa cannabis perlu dikeluarkan sepenuhnya daripada senarai bahan terlarang dan dibuka untuk penyelidikan perubatan tanpa sekatan. Kita baru sahaja menemui bahawa ekstrak cannabis yang telah distandardkan mampu memberikan kelegaan yang bermakna untuk salah satu keadaan perubatan yang paling kerap berlaku dan menjejaskan kehidupan seharian manusia. Namun, penemuan ini hanya dapat dicapai selepas berdekad-dekad larangan yang menghalang penyelidikan ini daripada dijalankan.
Berapa banyak lagi aplikasi perubatan yang kita terlepas kerana cannabis masih terkurung dalam Kategori I? Berapa ramai yang terpaksa menanggung penderitaan yang tidak perlu kerana penyelidikan telah dihalang secara sistematik? Berapa banyak bilion telah dibazirkan untuk rawatan ketagihan opioid dan kematian akibat dos berlebihan yang mungkin dapat dielakkan jika ubat penahan sakit berasaskan cannabis telah dibangunkan beberapa dekad yang lalu?
Percubaan VER-01 menunjukkan potensi yang boleh dicapai apabila penyelidik dapat mengkaji cannabis dengan betul menggunakan piawaian farmaseutikal dan metodologi yang ketat. Namun, untuk menjalankan satu percubaan ini sahaja memerlukan usaha luar biasa untuk mengatasi halangan peraturan yang sepatutnya tidak wujud bagi tumbuhan yang telah terbukti mempunyai aplikasi perubatan dan profil risiko yang sangat rendah.
Penyusunan semula jadual akan membuka pintu kepada gelombang penyelidikan sah yang meluas. Universiti akan dapat mengkaji cannabis tanpa sekatan daripada DEA. Syarikat farmaseutikal pula boleh membangunkan ubat-ubatan yang lebih standard. Doktor juga akan lebih yakin untuk membuat preskripsi berdasarkan bukti klinikal, bukan sekadar cerita-cerita atau percubaan pesakit semata-mata.
Pasaran untuk rawatan kesakitan kronik sahaja sudah bernilai berpuluh bilion dalam potensi aplikasi perubatan. Apabila kita tambah pula dengan PTSD, gangguan anxiety, epilepsi, kesan sampingan rawatan kanser, dan pelbagai lagi keadaan di mana bukti awal menunjukkan bahawa cannabis boleh membantu, kita sedang bercakap tentang potensi perubatan yang boleh mengubah kehidupan. Malangnya, potensi ini telah lama ditekan atas sebab-sebab politik.
Kajian ini adalah bukti bahawa larangan telah menghalang perubatan. Sudah tiba masanya untuk menyusun semula kedudukan cannabis dan biarkan sains menjalankan tugasnya.
Post a Comment