Penggunaan CBD Semasa Kemoterapi : Segala Yang Anda Perlu Tahu
Penggunaan CBD Semasa Kemoterapi: Kesan Sampingan dan Penggunaan Selamat
Kemoterapi adalah rawatan untuk kanser yang berfungsi dengan menghentikan pertumbuhan dan penyebaran sel kanser. Namun, ia juga boleh memberi kesan kepada sel-sel sihat, menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah, keletihan, keguguran rambut, dan kesakitan. CBD (cannabidiol), sejenis bahan kimia yang terdapat dalam tumbuhan cannabis (yang juga menghasilkan dadah marijuana), semakin popular untuk pelbagai kegunaan sejak ia disahkan oleh Kongres AS pada tahun 2018. Pakar menganggarkan bahawa antara 4 hingga 24 peratus pesakit yang menghidap kanser peringkat lanjut sudah menggunakan sejenis cannabis untuk mengurangkan kesan sampingan kemoterapi mereka. CBD berbeza daripada THC, yang juga terdapat dalam tumbuhan cannabis. THC menyebabkan khayal/perubahan kesedaran atau "high", manakala CBD tidak mempunyai kesan psikoaktif yang sama. Banyak produk mengandungi gabungan kedua-duanya, tetapi produk CBD isolat hanya mengandungi CBD tulen di mana semua kandungan THC telah dikeluarkan daripadanya.
Di bawah, kita akan meneroka apa yang dikatakan oleh penyelidik mengenai CBD untuk meredakan kesan sampingan kemoterapi dan cara menggunakannya dengan selamat.
Bagaimana CBD Membantu Redakan Kesan Sampingan Kemoterapi
Untuk memahami bagaimana CBD boleh membantu melegakan kesan sampingan kemoterapi, kita perlu melihat terlebih dahulu kepada sistem endocannabinoid, atau ECS. Sistem endocannabinoid ini memainkan peranan penting dalam mengawal beberapa proses dalam sistem saraf pusat anda. Ia berfungsi dengan mengikat kepada reseptor tertentu yang mempengaruhi persepsi kesakitan, ingatan, selera makan, dan sistem imun anda.
"CBD berinteraksi dengan reseptor-reseptor ini dan boleh sama ada meningkatkan aktiviti pada reseptor tersebut atau berpotensi menyekat dan mengurangkan aktiviti," kata Dr. Leah Couture, seorang doktor penjagaan paliatif di University of Maryland Greenebaum Comprehensive Cancer Center di Baltimore.
Setakat ini, kajian mengenai CBD dalam rawatan kanser masih terhad dan hasilnya bercampur-campur. Pakar belum dapat memastikan dengan yakin bahawa CBD dapat mengurangkan kesan sampingan.
"Kami belum mempunyai kajian klinikal rawak untuk menentukan keberkesanannya," kata Dr. Liudmila Schafer, seorang pakar onkologi di Mercy Health System, St. Louis. Beliau menambah bahawa lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan dengan populasi pesakit yang lebih khusus.
Kebaikan CBD dalam Kemoterapi Mengurangkan Loya dan Muntah
Penyelidikan menunjukkan bahawa gabungan CBD-THC dapat membantu mengurangkan kesan sampingan seperti loya dan muntah. Namun, kajian terkini mengenai penggunaan CBD sahaja masih terhad. Sharyn Lewin, MD, seorang pakar onkologi di Holy Name Medical Center, Teaneck, New Jersey, berkongsi bahawa pesakitnya melaporkan CBD kadangkala membantu mengurangkan rasa loya dan muntah mereka, menjadikan rawatan lebih mudah diterima.
Manfaat Melegakan Kesakitan
Kebanyakan bukti mengenai kelegaan kesakitan daripada CBD tanpa THC adalah berdasarkan pengalaman individu, seperti pesakit yang menjalani kemoterapi mengatakan ia berkesan untuk mereka. Namun, para penyelidik belum dapat menghasilkan keputusan yang sama dalam skala besar melalui ujian berkualiti tinggi.
Seperti dalam kes loya, banyak ujian berjaya yang memfokuskan pada terapi gabungan CBD dan THC. Namun, terdapat satu kajian kecil yang menunjukkan bahawa produk yang dominan CBD dapat mengurangkan kesakitan setanding produk yang dominan THC.
Kajian lain menunjukkan bahawa CBD mungkin dapat mengurangkan keradangan, yang seterusnya boleh mengurangkan kesakitan. "CBD mungkin membantu melegakan kesakitan, sama ada ia berkaitan dengan kemoterapi itu sendiri, kanser, atau keadaan asas lain," kata Dr. Lewin. Malah, ada penyedia perkhidmatan kesihatan yang mempertimbangkan penggunaan CBD bersama ubat penahan sakit opioid seperti morfin untuk mengurangkan jumlah narkotik yang diperlukan bagi mengawal kesakitan.
Keletihan Disebabkan Kemoterapi
Kita masih belum pasti sejauh mana keberkesanannya bila mana hanya menggunakan CBD dikatakan mampu mengurangkan keletihan akibat kemoterapi. Namun, kajian menunjukkan bahawa gabungan THC dan CBD boleh membantu mengurangkan kesan sampingan ini.
Rangsangan Selera dan Penyelenggaraan Berat Badan
Berbeza dengan THC yang terkenal menyebabkan "munchies" atau keinginan makan yang tinggi, CBD sebenarnya boleh menekan selera makan. Ini berdasarkan satu ulasan daripada 11 kajian kecil. Ada individu yang mengalami peningkatan selera makan dengan CBD, ada yang berkurang, dan ada juga yang tidak mengalami sebarang perubahan. Namun secara keseluruhan, secara purata, tahap selera makan menurun apabila hanya menggunakan CBD. Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini berskala kecil dan dilaporkan mempunyai risiko bias. Oleh itu, pakar menyarankan lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mendapatkan kepastian. Satu lagi perkara yang perlu diambil kira : Jika CBD berjaya mengurangkan kesan sampingan seperti loya atau kesakitan, selera makan mungkin akan meningkat sebagai akibatnya.
Adakah CBD Selamat untuk Pesakit Kemoterapi?
Pada tahun 2018, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan CBD sebagai "umumnya diterima dengan baik." Namun, pakar masih belum mempunyai maklumat keselamatan jangka panjang, kerana kebanyakan ujian klinikal hanya menilai penggunaannya sehingga 14 minggu sahaja. Menurut Lewin, "CBD umumnya dianggap selamat untuk kebanyakan individu, termasuk pesakit kemoterapi." Namun, beliau menambah bahawa CBD boleh berinteraksi/menurunkan kesan ubatan lainnya seperti interaksi dengan beberapa ubat kemoterapi (dan ubat-ubatan lain) dengan cara mempengaruhi enzim hati yang memprosesnya. Ini berkemungkinan boleh mengubah keberkesanan kemoterapi.
Satu lagi kebimbangan mengenai keselamatan CBD adalah kekurangan peraturannya. Produk CBD tidak tertakluk kepada piawaian yang sama seperti ubat preskripsi. Jadi, anda mungkin tidak tahu berapa banyak yang anda dapat dalam setiap dos. "Bagi sesetengah orang, CBD juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mulut kering, cirit-birit, kurang selera makan, dan mengantuk. Oleh itu, ia perlu digunakan dengan berhati-hati," kata Dr. Couture.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) telah meluluskan dua ubat gabungan CBD-THC untuk mengatasi kesan sampingan berkaitan kemoterapi : dronabinol (Marinol) dan nabilone (Cesamet). Satu-satunya ubat yang hanya mengandungi CBD dan diluluskan oleh FDA ialah Epidiolex, yang digunakan untuk merawat sawan. Walaupun Kongres telah menghalalkan produk CBD, setiap negeri mempunyai undang-undang mereka sendiri mengenai penggunaan CBD. Jadi, pastikan anda menyemak sekatan di negeri anda sebelum membuat keputusan untuk mencubanya.
Cara Menggunakan CBD Semasa Kemoterapi
CBD hadir dalam beberapa bentuk yang berbeza, dan setiap produk disertakan dengan arahan penggunaan. Namun, disebabkan kekurangan kajian, penyedia perkhidmatan tidak mempunyai banyak maklumat mengenai dos atau cadangan cara pengambilannya.
Dr. Schafer berkata, "Terdapat pengalaman individu, tetapi tiada pengetahuan kolektif mengenai preskripsi yang tepat." Namun, jika anda ingin mencuba CBD untuk mengurangkan kesan sampingan kemoterapi, Lewin mencadangkan agar anda bertanya kepada pasukan kesihatan anda untuk berunding dengan penyedia penjagaan paliatif. Mereka boleh membantu membimbing anda dalam penggunaannya.
Produk CBD Yang Boleh Didapati
Untuk kegunaan perubatan, CBD biasanya hadir dalam bentuk krim, gel, atau minyak. Jika CBD adalah sah di negeri anda, anda boleh menjumpainya dalam pelbagai bentuk lain, termasuk:
Tinctures/Ubat Titis
Edibles
Losyen
Kapsul
Tampalan/Patches
Vapes
Cara Menggunakan Minyak CBD
Minyak CBD boleh diambil dengan menelannya (oral), diletakkan di bawah lidah (sublingual), atau disapu pada kulit (topikal). Namun, sehingga kini belum ada garis panduan dos standard untuk CBD. Dos yang sesuai untuk anda bergantung kepada berat badan, kadar metabolisme, dan jenis CBD yang anda pilih.
Jumlah harian boleh berbeza dari serendah 5 miligram (mg) hingga melebihi 100 mg. "Pada mulanya, dos CBD sepatutnya rendah, sekitar 5 mg. Jika diambil dalam bentuk makanan, kesannya mungkin mengambil masa beberapa jam untuk dirasai. Jadi, elakkan daripada mengambil dos tambahan kerana ia boleh berkumpul dalam badan dan meningkatkan risiko kesan sampingan," kata Couture.
Ingat perkara berikut semasa membeli produk CBD:
Periksa label untuk kenyataan ketulenan atau kualiti daripada pengeluarnya.
Pastikan produk menyenaraikan dos tertentu dalam miligram (mg).
Cari perkataan "spektrum luas" atau "isolate," kerana ini sepatutnya mempunyai kurang THC daripada pilihan spektrum penuh.
Tips untuk Penggunaan Selamat
"Oleh kerana [CBD] boleh menyebabkan rasa mengantuk, saya biasanya mencadangkan untuk mengambilnya pada waktu malam, terutamanya ketika anda tidak merancang untuk memandu," kata Couture. Beliau juga menambah bahawa individu dengan keadaan seperti osteoporosis mungkin mahu ada ahli keluarga di sisi untuk memastikan keselamatan mereka terjaga dan mengelakkan risiko jatuh jika mereka merasa tidak stabil.
Sebelum anda mula menggunakan CBD, berbincanglah terlebih dahulu dengan penyedia penjagaan kesihatan anda. Mereka boleh memeriksa sebarang interaksi yang diketahui dengan ubat-ubatan lain yang anda ambil (termasuk kemoterapi anda), memantau kesan sampingan, dan memberikan panduan umum.
Implikasi Undang-Undang : Penggunaan CBD untuk Pesakit Kanser di Pelbagai Kawasan
Implikasi undang-undang berkaitan CBD memang rumit. Pada tahun 2018, Kongres telah menghalalkan penggunaan hemp, yang termasuk CBD. Namun begitu, Agensi Penguatkuasaan Dadah A.S. (DEA) masih menyenaraikan marijuana dan cannabinoidnya (seperti CBD) sebagai bahan terkawal Jadual I. Ini bermakna, di bawah undang-undang persekutuan, ia tidak boleh secara sah dipreskripsi, dimiliki, dijual, atau digunakan, kecuali untuk tujuan penyelidikan.
Walaupun begitu, banyak negeri telah meluluskan undang-undang berkaitan CBD, dan kebanyakan negeri membenarkan penjualan dan pemilikan pelbagai jenis produk CBD. Anda boleh menyemak undang-undang CBD di negeri anda melalui National Conference of State Legislatures. Jika anda masih ragu-ragu, tanyalah doktor anda tentang sebarang sekatan CBD di kawasan anda.
Kesimpulan
CBD mungkin dapat mengurangkan kesan sampingan kemoterapi seperti loya, kesakitan, dan keletihan. Ini kerana CBD berinteraksi dengan sistem endocannabinoid dalam badan anda. Walaupun kajian masih terhad dan hasilnya bercampur-campur, ramai individu mendapati sedikit kelegaan dengan penggunaan CBD semasa rawatan kanser. Berbincanglah dengan pasukan penjagaan kesihatan anda untuk mengetahui sama ada CBD mungkin pilihan yang selamat dan sesuai untuk anda.
Post a Comment