Kajian Terbesar Mendapati bahawa Cannabis Perubatan Berpotensi Melawan Kanser.





Potensi Cannabis dalam Rawatan Kanser

Kajian Terbesar Mendapati bahawa Cannabis Perubatan Berpotensi Melawan Kanser.

Penyelidikan ini bertujuan untuk mengukuhkan kesepakatan mengenai potensi cannabis sebagai rawatan kanser, kata penulis utama kajian tersebut.

Ryan Castle, pengarah penyelidikan di Whole Health Oncology Institute dan penulis utama kajian ini, menjelaskan bahawa tujuan analisis ini adalah untuk mengukuhkan kesepakatan mengenai potensi cannabis sebagai rawatan kanser. Castle menyatakan bahawa usaha ini sering kali berdepan kesukaran kerana secara persekutuan, marijuana masih dikategorikan sebagai narkotik Jadual I yang haram.

“Matlamat kami adalah untuk mengenal pasti kesepakatan saintifik mengenai topik cannabis perubatan, satu bidang yang sekian lama dikuasai oleh perdebatan antara kajian-kajian yang bias," kata Castle.







Cabaran Penyelidikan dan Metodologi Kajian

Kajian ini dibiayai oleh Cancer Playbook, yang bekerjasama dengan Whole House Oncology Institute untuk mengumpul, menganalisis dan berkongsi data mengenai hasil yang dilaporkan oleh pesakit.

Walaupun sekatan penyelidikan terhadap bahan Jadual I menyukarkan kajian klinikal mengenai cannabis pada manusia, terdapat banyak kajian pemerhatian mengenai cannabis perubatan dan kanser. Selain itu, terdapat juga penyelidikan makmal yang mengkaji kesan cannabis terhadap tumor dalam tabung uji dan haiwan. Analisis ini merangkumkan sebanyak mungkin kajian-kajian tersebut.

Untuk mengatasi sebarang bias, sama ada sedar atau tidak, Castle menekankan pentingnya menggunakan metodologi berskala besar yang sangat inklusif dan berasaskan pemikiran matematik.

Beliau menambah : "Kami ingin menganalisis bukan hanya beberapa kajian, tetapi hampir setiap kajian utama mengenai cannabis perubatan untuk mencari titik konsensus saintifik yang sebenar."







Analisis dan Dapatan Kajian

Kajian oleh Castle ini meneliti lebih daripada 10,000 kajian berkaitan cannabis dan kanser.

Menurut beliau : “ini adalah 10 kali ganda lebih besar daripada kajian terbesar seterusnya, yang kami percaya membantu menjadikannya satu ulasan yang lebih konklusif mengenai konsensus saintifik.”

Untuk menganalisis sejumlah besar kajian, Castle dan pasukannya menggunakan teknologi AI, khususnya teknik pemprosesan bahasa semula jadi yang dikenali sebagai "analisis sentimen". Teknik ini membolehkan para penyelidik menilai berapa banyak kajian yang mempunyai pandangan positif, neutral, atau negatif tentang keupayaan cannabis dalam merawat kanser dan simptomnya. Contohnya, bagaimana cannabis boleh meningkatkan selera makan, mengurangkan keradangan, atau mempercepatkan "apoptosis", iaitu kematian sel kanser.

Castle dan pasukannya berharap dapat menemui "kesepakatan sederhana" mengenai potensi cannabis sebagai rawatan kanser. Mereka menjangkakan "senario terbaik" adalah apabila kira-kira 55% kajian menunjukkan bahawa cannabis perubatan dapat memperbaiki hasil rawatan kanser.

Dia berkata : “Bukan 55-45, tapi sebenarnya 75-25 .”

Kajian ini dengan jelas menyokong penggunaan cannabis sebagai rawatan untuk mengurangkan keradangan, kehilangan selera makan, dan loya yang berkaitan dengan kanser. Lebih mengejutkan, kajian ini juga menunjukkan bahawa cannabis berpotensi melawan sel-sel kanser itu sendiri dengan membunuhnya dan menghalang penyebarannya.

Castle menyatakan : “Ini adalah satu tahap konsensus yang mengejutkan dalam penyelidikan kesihatan awam, dan pastinya lebih daripada yang kami jangkakan untuk topik yang kontroversi seperti cannabis perubatan.”







Kontroversi dan Pandangan Pakar

Cannabis perubatan sering menjadi topik hangat apabila berkaitan dengan kanser. Satu meta-analisis pada tahun 2024 yang diterbitkan dalam Jama mendapati bahawa orang dewasa dengan gangguan penggunaan cannabis – yang ditakrifkan melalui kriteria seperti ketidakmampuan untuk berhenti atau mengurangkan penggunaan – mempunyai risiko 3.5 hingga 5 kali ganda lebih tinggi untuk menghidap kanser kepala dan leher. Namun, Donald Abrams, seorang pakar onkologi dan profesor emeritus perubatan di University of California, San Francisco, berpendapat kajian tersebut mempunyai kelemahan. Menurutnya, pesakit dalam kajian itu kerap menggunakan tembakau dan alkohol, yang diketahui sebagai faktor risiko untuk kanser tersebut.

Bagi Abrams, cannabis telah terbukti bermanfaat untuk pesakit kanser dalam menguruskan simptom seperti hilang selera makan, loya, kesakitan, dan anxiety. Namun, dia masih skeptikal dengan dakwaan bahawa cannabis benar-benar boleh melawan kanser.

"Saya telah menjadi pakar onkologi di San Francisco selama 42 tahun. Di sini, ramai pesakit saya mempunyai akses kepada cannabis. Namun, jika cannabis boleh menyembuhkan kanser, saya belum dapat menerimanya," katanya.

Walaupun begitu, Abrams mengakui bahawa terdapat bukti pra-klinikal yang menarik dari ujian makmal dan model haiwan yang menunjukkan cannabis boleh mempengaruhi sel kanser atau tumor yang dipindahkan.

"Namun, setakat ini, penemuan tersebut belum lagi memberikan manfaat klinikal kepada manusia.".







Implikasi dan Masa Depan Penyelidikan

Castle yakin bahawa gabungan bukti pra-klinikal dan maklum balas daripada pesakit menunjukkan bahawa cannabis berpotensi dalam melawan kanser.

Satu kajian perintis kecil melibatkan 21 pesakit yang menerima sama ada placebo atau ubat berasaskan cannabis bersama rawatan kemoterapi tradisional mendapati bahawa pesakit yang menerima ubat berasaskan cannabis hidup lebih lama. Satu lagi kajian melibatkan 119 pesakit kanser menunjukkan bahawa CBD sintetik membantu mengurangkan saiz tumor dan peredaran sel tumor.

Namun, untuk benar-benar membuktikan keberkesanan cannabis dan mencari formulasi rawatan yang terbaik, ujikaji klinikal yang lebih besar dan melibatkan ramai manusia perlu dijalankan.

Castle berharap bahawa analisis meta yang dilakukannya dapat mendorong Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) untuk menyelesaikan proses pengelasan semula cannabis yang telah lama tertangguh.

Dengan ini, cannabis tidak lagi dianggap haram di peringkat persekutuan, yang seterusnya boleh membuka jalan untuk mengurangkan sekatan terhadap penyelidikan klinikal.

"Kami bukanlah mengatakan bahawa piawaian untuk menerima rawatan kanser baharu patut direndahkan. Sebaliknya, kami berhujah bahawa cannabis perubatan memenuhi atau bahkan melebihi piawaian tersebut," katanya.

"Malah, sering kali ia lebih berkesan berbanding rawatan farmaseutikal yang ada sekarang."



Post a Comment

To Top