Cannabis Terbukti Bermanfaat kepada Pesakit Kanser : Apa Kata Sains?
Cannabis Dan Kanser: Semua Yang Perlu Anda Tahu
Daripada pengurusan kesakitan paliatif hingga kepada kesan sampingan kemoterapi, cannabis boleh memberikan sokongan yang besar kepada pesakit kanser. Beberapa kajian juga mencadangkan bahawa cannabis mungkin dapat membantu merawat, dan mungkin juga mencegah beberapa jenis penyakit ini.
Inilah pandangan sains tentang isu ini. Statistik memang nampak menakutkan: satu daripada dua orang di UK akan mengalami kanser sepanjang hidup mereka. Namun, berita baiknya ialah para saintis sedang mengembangkan rawatan yang benar-benar berkesan untuk melawan kanser, dan kadar kelangsungan hidup telah meningkat secara konsisten sejak beberapa dekad lalu.
Jadi, Bagaimana Cannabis Berkaitan Dengan Perbincangan Mengenai Kanser?
Walaupun kajian berkualiti tinggi masih terhad, pelbagai bentuk cannabis telah terbukti memberi manfaat kepada pesakit kanser dalam tiga cara utama: pengurusan kesakitan, membantu mengurangkan kesan sampingan kemoterapi, dan berpotensi merawat (serta mencegah) beberapa jenis kanser.
Bagaimana cannabis berinteraksi dengan tubuh manusia?
Cannabis mempunyai profil kimia yang kaya, terdiri daripada kira-kira 550 sebatian dan lebih 100 phytocannabinoid. Antara phytocannabinoid yang paling terkenal ialah delta-9 tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD). Kedua-dua sebatian ini 'melekat' pada reseptor cannabinoid yang terdapat dalam tubuh manusia.
Para saintis telah menemui dua reseptor cannabinoid utama, walaupun ada spekulasi bahawa mungkin ada lebih banyak lagi. Reseptor CB1 kebanyakannya terdapat dalam sistem saraf, tisu penghubung, gonad, kelenjar, dan organ. Manakala, CB2 pula lebih banyak ditemui dalam sistem imun. Namun begitu, banyak tisu sebenarnya mengandungi kedua-dua CB1 dan CB2.
Reseptor cannabinoid adalah komponen penting dalam sistem endocannabinoid (ECS), iaitu rangkaian kompleks reseptor sel dan isyarat kimia dalam badan yang sangat penting untuk kesihatan manusia. Phytocannabinoids dalam cannabis berfungsi hampir sama seperti endocannabinoids yang secara semula jadi terdapat dalam ECS manusia.
Dalam satu perbualan dengan Cannabis Health tahun lepas, Dr. Wai Liu, seorang penyelidik kanan di St George’s, University of London, yang banyak menumpukan kerjayanya kepada kajian cannabinoid dan kanser, berkongsi pandangannya yang positif mengenai potensi cannabis dalam penjagaan dan rawatan kanser.
"Sebagai bahan kimia, THC dan CBD memang menakjubkan," kata Dr Liu.
"Mereka mempunyai pelbagai sifat dan bergantung kepada dos yang digunakan, kesannya boleh berbeza-beza."
Disebabkan oleh hubungan simbiotik antara phytocannabinoids dalam cannabis dan reseptor cannabinoid dalam badan kita, tidak hairanlah jika cannabis berpotensi memainkan peranan penting dalam penjagaan, rawatan, dan mungkin juga pencegahan kanser.
Cannabis dan Kanser: Pengurusan Kesakitan
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa cannabis boleh membantu dalam pengurusan kesakitan dan mengurangkan penggunaan opioid, sama ada dalam situasi berkaitan kanser atau tidak.
Awal tahun lepas, satu penilaian menyeluruh mengenai manfaat cannabis perubatan untuk kesakitan berkaitan kanser mendapati kebanyakan pesakit yang dikaji mengalami pengurangan ketara dalam ketidakselesaan apabila menggunakan cannabis perubatan. Selain itu, terdapat juga penurunan dalam simptom lain yang berkaitan dengan kanser, yang akhirnya membawa kepada pengurangan penggunaan ubat penahan sakit berasaskan opioid.
Satu bidang di mana cannabis dilaporkan memberi manfaat besar adalah dalam pengurusan kesakitan penjagaan paliatif.
Kajian pada tahun 2022 dari University Hospital di Syracuse, New York mendapati bahawa majoriti pesakit onkologi (85%) yang menggunakan cannabis perubatan melaporkan peningkatan dalam simptom mereka. Hampir separuh daripada mereka melaporkan berkurangnya kesakitan, dan kurang daripada separuh melaporkan penurunan penggunaan ubat penahan sakit opioid.
Kajian pada tahun 2021 di Thailand juga menemui hasil yang serupa.
Satu kajian terbaru yang meneliti kesan CBD dalam penjagaan paliatif mendapati bahawa CBD tidak menunjukkan sebarang kesan ketara terhadap perubahan dalam fungsi fizikal atau emosi, kualiti hidup secara keseluruhan, keletihan, loya dan muntah, kesakitan, sesak nafas, atau kehilangan selera makan.
Walaupun penulis kajian mengakui bahawa tumbuhan cannabis ini sangat kompleks, mereka merancang kajian seterusnya untuk melihat gabungan CBD dan THC. Penting juga untuk diingat bahawa CBD sendiri, bergantung kepada sama ada ia adalah full-spectrum atau CBD isolate, cara penghasilannya, dan beberapa faktor lain, boleh memberikan kesan yang berbeza.
Kajian masa depan mengenai CBD dan penjagaan paliatif perlu mengambil kira kerumitan ini.
Terdapat persoalan sama ada 'placebo' cannabis boleh memberikan kesan yang serupa dengan tumbuhan itu sendiri dalam pengurusan kesakitan. Satu meta-analisis terkini yang melibatkan beberapa ujian klinikal membandingkan 2 jenis rawatan, rawatan berasaskan CBD dan THC dibandingkan dengan rawatan placebo menunjukkan hasil yang hampir sama dalam melegakan kesakitan.
Ted J.Kaptchuk, pengarah Program Kajian Placebo dan The Therapeutic Encounter di Beth Israel Deaconess Medical Center yang berafiliasi bersama Harvard, menyatakan:
"Mengikut pandangan perubatan moden yang ketat, seorang doktor mungkin akan mengatakan produk cannabis tidak berkesan, ia sama sahaja seperti placebo."
Namun, beliau mengakui bahawa cannabis boleh digunakan sebagai pelengkap kepada opioid yang sering menyebabkan ketagihan dan mempunyai kesan sampingan yang berbahaya.
“Kalau ada sesuatu yang boleh kurangkan sakit anda tanpa mendatangkan mudarat yang besar, saya rasa teruskan sahaja," kata Kaptchuk.
Cannabis Dan Kanser: Kemoterapi
Sejak tahun 1980-an, cannabis telah digunakan sebagai rawatan untuk mengurangkan rasa loya dan muntah akibat kemoterapi (CNV). Ini mungkin adalah salah satu bentuk rawatan cannabis perubatan yang paling dikenali berkaitan dengan kanser.
Dalam satu ulasan melibatkan 28 kajian mengenai cannabis dan CNV (kebanyakannya sebelum tahun 2000), didapati ubat berasaskan cannabis lebih digemari oleh pesakit berbanding ubat anti-mual lain yang ada di pasaran. Satu ujian klinikal pada tahun 2020 yang meneliti kesan cannabis terhadap CNV, membandingkan penggunaan cannabis dengan placebo dari kalangan pesakit, menunjukkan hasil yang serupa. Majoriti besar, iaitu 83% daripada mereka yang disoal selidik, lebih memilih cannabis berbanding placebo. Kurang daripada satu pertiga mengalami kesan sampingan negatif seperti rasa mengantuk, pening, atau kekeliruan.
Cannabis juga boleh membantu mengurangkan masalah neuropati periferi akibat kemoterapi (CIPN) — iaitu kerosakan saraf dan kesakitan yang sering dialami semasa rawatan chemo. Satu analisis menunjukkan perbezaan ketara dalam CIPN antara pesakit yang menggunakan cannabis dan mereka yang tidak, dengan kadar masing-masing 15.3% dan 27.9%.
Penyelidik mendapati terdapat perbezaan dalam kesan CIPN bergantung kepada sama ada cannabis diberikan sebelum atau selepas penggunaan oxaliplatin, iaitu ubat kemoterapi yang biasa digunakan.
Menariknya, apabila cannabis diberikan terlebih dahulu, terdapat peningkatan sebanyak 75% dalam keadaan pesakit. Ini menunjukkan bahawa cannabis mungkin mempunyai kesan perlindungan terhadap neuropati apabila digunakan sebelum ubat kemoterapi tradisional.
Cannabis dan Kanser: Rawatan dan Pencegahan
Potensi cannabis dalam merawat dan mencegah jenis-jenis kanser tertentu adalah satu bidang penyelidikan yang menarik dan terus berkembang. Bukti saintifik terkini serta pengalaman individu menunjukkan ia berpotensi untuk menyembuhkan. Seperti yang ditekankan oleh Dr Liu kepada Cannabis Health, sebatian yang terdapat dalam THC dan CBD "pasti mempunyai sifat anti-kanser".
Kajian menunjukkan bahawa cannabis boleh membantu menghasilkan lebih banyak protein yang merangsang apoptosis, iaitu proses sel mati secara teratur, yang biasanya dikawal ketat apabila ada sel kanser.
Menurut Dr. Liu, CBD khususnya didapati mampu 'menipu' sel kanser untuk menghasilkan lebih banyak protein ini. Ini boleh membantu pesakit beroleh kembali kepekaan terhadap rawatan-rawatan lain.
Beberapa tahun lalu, Dr Liu bersama pasukannya menjalankan kajian yang mendapati bahawa CBD dan THC boleh meningkatkan kepekaan terhadap rawatan radioterapi pada tikus yang mempunyai tumor otak. Apabila tikus-tikus ini diberi CBD dan THC bersama radioterapi yang minimum, tumor tersebut tidak berubah dan berhenti berkembang. Namun, apabila kedua-dua terapi ini digabungkan, tumor tersebut hampir lenyap sepenuhnya.
Satu kajian baru menunjukkan bahawa campuran cannabinoid yang tepat berpotensi membantu merawat kanser ovari.
Profesor Hinanit Koltai dari Institut Volcani di Israel bertanya:
"Apakah sebatian dalam cannabis yang sebenarnya aktif? Dan apakah gabungan molekul yang paling berkesan?"
Selepas mencuba pelbagai kombinasi, mereka mendapati bahawa formulasi tulen molekul THC, CBC, dan CBG bersama-sama menyebabkan apoptosis sel, iaitu kematian sel yang terprogram. Menariknya, ia didapati 50 kali lebih berkesan terhadap sel kanser berbanding sel yang sihat. Profesor Koltai membuat kesimpulan bahawa cannabis berpotensi menjadi rawatan anti-kanser yang berkesan dan boleh melengkapi rawatan sedia ada untuk kanser ovari. Namun, beliau menekankan bahawa lebih banyak ujian klinikal yang menyeluruh amat diperlukan.
Satu kajian besar pada tahun 2022 mengenai cannabis dan pencegahan kanser mencadangkan bahawa penggunaan cannabis mungkin mempunyai 'faktor pelindung' terhadap renal cell carcinoma, iaitu salah satu daripada 10 jenis kanser paling biasa berlaku di Amerika Syarikat yang merangkumi 90% daripada semua kanser buah pinggang, serta kanser prostat.
Para penulis kajian tersebut menyatakan bahawa penggunaan cannabis sebelum ini dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah untuk mendapat kanser pundi kencing, karsinoma sel renal, dan kanser prostat.
Kesimpulan : Keperluan Untuk Lebih Banyak Kajian Mengenai Cannabis Dan Kanser
Terdapat ratusan kajian yang telah dijalankan untuk menyelidik hubungan antara cannabis dan kanser.
Pada tahun 2022, Cancer Research UK telah mengemas kini panduan mereka mengenai penggunaan cannabis dalam rawatan kanser. Langkah ini disambut baik oleh pakar dalam komuniti perubatan dan cannabis. Malah, badan amal tersebut mengakui bahawa ujian makmal telah menunjukkan hasil yang menarik dari eksperimen makmal yang meneliti pelbagai jenis kanser, termasuk tumor otak glioblastoma, kanser prostat, payudara, paru-paru, dan pankreas.
Namun, seperti yang dinyatakan oleh badan amal tersebut (dan juga banyak ulasan penyelidikan berkaitan kanser dan cannabis), masih belum cukup bukti kukuh dan muktamad untuk menyokong penggunaan cannabis sebagai cara mencegah atau merawat kanser.
Walaupun pernyataan ini mungkin sedikit sebanyak mengecewakan ramai pesakit kanser dan keluarga yang berdepan dengan penyakit ini, ia juga sepatutnya dilihat sebagai seruan penting untuk sains meningkatkan usaha dalam menyelidik pelbagai manfaat cannabis dalam melawan kanser.
Dr. Lui menyatakan:
“Saya menyokong sepenuhnya seruan untuk [lebih banyak ujian klinikal]. Ini bukan sahaja kerana saya percaya ia akan bermanfaat, tetapi juga kerana hanya selepas ujian klinikal yang lengkap, kita akan benar-benar tahu sama ada cannabinoids mempunyai peranan terapeutik dalam merawat pesakit kanser."
Pada pandangan saya, apa pun hasilnya, ia tetap membawa kebaikan. Jika kajian menunjukkan bahawa cannabinoids tidak memberi kesan, kita boleh tinggalkan dan tumpukan perhatian kepada ubat lain yang mungkin lebih berkesan dalam pengurusan penyakit. Namun, jika hasilnya positif, pesakit akan mempunyai satu lagi pilihan ubat yang berpotensi membantu keadaan mereka.
Post a Comment