Bolehkah CBD Membantu untuk Merawat Kanser?
Kajian CBD dan Potensi Antikanser
Pakar Onkologi, Siddhartha Mukherjee, menyatakan bahawa berdasarkan pemerhatian, sangat sedikit penyakit yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan manusia moden sama seperti ketakutan terhadap kanser. Walaupun berbilion dolar telah dibelanjakan untuk pelbagai inisiatif penyelidikan, kadar kanser masih meningkat, dan kemajuan dalam keberkesanan rawatan kanser belum menunjukkan hasil yang ketara.
Penyelidikan praklinikal banyak yang mencadangkan bahawa kanabinoid tertentu seperti CBD mempunyai sifat antikanser dan mampu menghalang tumor.
Tetapi, bagaimana penyelidikan itu diterjemahkan dari tabung uji ke tubuh manusia, yang merupakan persekitaran lebih kompleks dan dinamik?
Pada Oktober 2020, sekumpulan penyelidik dari Bulgaria telah mengkaji semula kesan anti-kanser CBD. Mereka telah merumuskan bagaimana CBD boleh meningkatkan atau menyokong rawatan kanser konvensional.
Kajian mereka menyelidiki kesan CBD terhadap pelbagai sel kanser dan menjelaskan bagaimana, apabila digabungkan dengan ubat kanser konvensional, CBD boleh menghasilkan sinergi istimewa yang meningkatkan hasil rawatan.
Bagaimana CBD bertindak terhadap kanser?
Endocannabinoids, iaitu cannabinoids yang dihasilkan oleh badan kita, dan cannabinoids yang terdapat dalam tumbuhan cannabis, kedua-duanya berperanan penting dalam mengawal laluan yang mempengaruhi kanser. Ini termasuklah bagaimana sel-sel kanser tumbuh, bergerak, dan merebak.
Penggunaan THC dalam bidang klinikal sering menjadi topik perdebatan kerana kesan psikoaktifnya yang boleh menyebabkan khayal atau high. Sebaliknya, CBD tidak menyebabkan khayal , merupakan sebatian yang diterima baik dan memliki profil keselamatan yang baik. Kajian menunjukkan bahawa CBD mampu mengurangkan pertumbuhan dan perkembangan tumor dalam pelbagai jenis kanser seperti kanser payudara, paru-paru, dan kolon.
Menurut Dr. Dustin Sulak, seorang pakar perubatan integratif dan pakar dalam bidang perubatan cannabis serta pengasas Healer.com, terdapat banyak bukti dari eksperimen ke atas haiwan dan sel yang menunjukkan pelbagai kesan anti-kanser langsung daripada cannabinoids, termasuklah CBD. Beliau menjelaskan bahawa CBD jarang menyebabkan kesan sampingan, mampu memberikan kelegaan yang ketara dengan sendirinya, dan sangat berguna apabila digunakan bersama THC.
Para penyelidik kini mula meneroka dengan lebih mendalam bagaimana CBD boleh berfungsi secara sinergi dengan ubat kemoterapi yang biasa digunakan. Mereka juga sedang mengkaji bagaimana cannabinoid yang kuat ini boleh dibawa keluar dari makmal dan digunakan dalam bilik rawatan.
Kesan CBD terhadap pelbagai jenis kanser
Dalam kajian semakan tahun 2020 dari Bulgaria yang disebutkan tadi, pasukan penyelidik menyelidik bukti yang menyokong penggunaan CBD dalam merawat pelbagai jenis kanser. Berikut adalah penemuan mereka mengenai tiga bentuk kanser yang paling kerap berlaku:
Kanser Payudara
CBD mempunyai kesan menghalang pada sel tumor payudara, terutamanya pada sel garis MCF-7 yang sering digunakan dalam kajian ubat rawatan kanser. Para penyelidik mendapati bahawa CBD lebih berkesan dalam menghentikan penyebaran sel kanser payudara berbanding cannabinoid lain.
Kanser Paru-Paru
Pada tahun 2012, satu kajian mendapati bahawa CBD mempunyai mekanisme yang boleh menghalang penyebaran tumor kanser paru-paru. Pasukan penyelidik yang sama juga melaporkan bahawa CBD dapat mendorong kematian sel kanser dalam sel tumor paru-paru primer.
Kanser Prostat
Kajian makmal menggunakan pelbagai garis sel prostat menunjukkan bahawa CBD boleh mengurangkan ekspresi reseptor androgen. Ini penting kerana reseptor ini memainkan peranan besar dalam perkembangan dan kemajuan kanser prostat. Dengan menghalang aktiviti reseptor-reseptor ini, perkembangan kanser prostat mungkin dapat diperlahankan.
CBD bantu halang pertumbuhan dan penyebaran tumor
Salah satu cabaran terbesar dalam kanser ialah penyebaran tumor kanser ke seluruh badan. Tidak seperti sel sihat biasa, sel kanser mempunyai pelbagai mutasi yang menghalang kematian sel. Sel-sel yang bermutasi ini boleh merebak dan menjajah pelbagai bahagian lain dalam badan.
Penyelidikan kanser biasanya menumpukan pada titik asal kanser bermula dan bukan pada tempat sekunder di mana ia telah merebak. Menariknya, kajian tentang cannabinoids seperti CBD sering memberi perhatian kepada keupayaannya untuk menghalang perkembangan sel kanser yang telah berpindah dan mula membentuk tumor baru.
Menurut kajian semula dari Bulgaria, CBD berfungsi melalui pelbagai laluan dalam tubuh untuk membantu menghalang pertumbuhan tumor. Salah satu cara utama CBD memperlahankan perkembangan tumor adalah dengan mempengaruhi laluan PI3K. Laluan ini penting kerana ia mengawal pertumbuhan, metabolisme, kelangsungan hidup, dan penyebaran sel, menjadikannya sasaran utama dalam rawatan kanser.
Bagaimana CBD boleh digabungkan dengan terapi kanser
Menurut kajian dari Bulgaria, terdapat banyak laporan yang menyokong pendekatan terapi gabungan. Menggabungkan CBD dengan ubat-ubatan antikanser tertentu telah terbukti menjadikan sesetengah sel kanser lebih mudah terjejas oleh kesan ubat-ubatan kanser tersebut.
Dalam kalangan pesakit kanser pankreas, kajian penting telah menunjukkan bahawa penggunaan CBD bersama kemoterapi berpotensi membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Ini adalah untuk jenis kanser yang terkenal sukar dirawat. Dalam eksperimen ke atas tikus yang menghidap kanser pankreas, mereka hidup hampir tiga kali lebih lama apabila rawatan kanser konvensional, gemcitabine, digabungkan dengan CBD. Selain memanjangkan jangka hayat, CBD juga berpotensi meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Kajian lain menunjukkan bahawa CBD dan rawatan konvensional temozolomide boleh digabungkan untuk merawat glioma - tumor otak dan saraf tunjang - dengan lebih berjaya.
CBD untuk kesan sampingan terapi kanser
Banyak kajian menunjukkan bahawa CBD boleh digunakan sebagai ubat tambahan untuk mencegah dan mengurangkan kesan sampingan terapi kanser. Salah satu kesan yang paling tidak menyenangkan daripada ubat kanser yang kuat ialah peripheral neuropathy. Keadaan ini menyebabkan kelemahan, kebas, dan kesakitan pada tangan dan kaki. Malah, sehingga 75% pesakit mungkin mengalami masalah ini akibat daripada regimen kemoterapi tertentu.
CBD boleh membantu mencegah perkembangan sensitiviti ini. Berdasarkan kajian pada tahun 2014 yang dijalankan ke atas tikus, dos CBD yang diberikan sebelum paclitaxel, sejenis kemoterapi, berjaya menghalang perkembangan sensitiviti saraf pada tikus tersebut. Yang penting, sistem saraf tikus tidak terjejas dan keberkesanan kemoterapi juga tidak terganggu oleh rawatan ini.
Satu kajian lain telah menunjukkan bahawa CBD boleh menyokong fungsi buah pinggang dan mengurangkan kerosakan buah pinggang yang disebabkan oleh cisplatin, iaitu sejenis agen kemoterapi yang dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang.
Adakah Rawatan Kanser di Masa Depan akan Melibatkan CBD?
Seperti banyak bidang sains cannabis yang masih baru, data mengenai penggunaan CBD dalam rawatan kanser masih terhad. Namun, kajian dari Bulgaria pada tahun 2020 menunjukkan terdapat bukti yang menunjukkan pelbagai cara CBD boleh menyokong rawatan kanser. Ini juga menekankan keperluan untuk lebih banyak kajian klinikal yang menyeluruh bagi menguji keberkesanannya.
Dr. Sulak menyatakan, "Ulasan ini secara ringkas merumuskan data tentang keupayaan CBD untuk menghalang pelbagai jenis kanser dan bertindak secara sinergi dengan rawatan anticancer konvensional." Walaupun masih banyak yang perlu kita pelajari tentang cara memaksimumkan manfaat ini untuk pesakit manusia, keselamatan, toleransi, dan manfaat simptomatik CBD yang mengagumkan merupakan alasan kukuh mengapa ia patut digunakan oleh pesakit kanser.
Post a Comment