Apakah Itu Perubatan Herba Dan Adakah Cannabis Termasuk Dalam Kategori Ini?





Keajaiban Tumbuhan dalam Perubatan Herba

Cannabis sering digambarkan sebagai "tumbuhan ajaib", tetapi ia bukanlah satu-satunya tumbuhan yang mempunyai kualiti perubatan seolah-olah ajaib – sebenarnya, banyak lagi tumbuhan lain yang juga mempunyai keajaiban tersendiri.

Amalan menggunakan sifat penyembuhan tumbuhan dipanggil Perubatan Herba, dan ia adalah bentuk perubatan tertua di dunia.







Apakah itu Perubatan Herba?

Perubatan Herba adalah amalan yang melibatkan farmakognosi : kajian mengenai tumbuhan dan bahan semula jadi lain sebagai ubat. Dalam bahasa yang lebih mudah, Perubatan Herba adalah amalan menggunakan tumbuhan untuk menyokong kesihatan tubuh dan minda kita.

Pakar herba, iaitu individu yang mengamalkan perubatan herba, menggunakan keseluruhan bahagian tumbuhan dalam ramuan mereka. Ini termasuk batang, akar, tangkai, kulit kayu, daun, dan bunga.







Sejarah Ringkas Perubatan Herba

Perubatan herba adalah bentuk perubatan tertua di dunia. Ia mempunyai rekod bertulis yang sudah wujud sejak 5,000 tahun lalu, dan amalan ini sebenarnya bermula jauh lebih awal daripada itu. Bukti arkeologi mengenai perubatan herba telah ditemui dalam pelbagai budaya di seluruh dunia, dari suku asli di Amerika hingga ke benua Afrika dan Asia. Menariknya, perubatan herba masih diamalkan di banyak negara di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat.

Perubatan herba mempunyai sejarah yang mendalam di Amerika Syarikat, walaupun ia bukanlah sejarah yang indah. Negara ini terkenal dengan inovasi perubatan yang canggih, namun pada masa yang sama, terdapat juga sejarah di mana penjagaan dan rawatan perubatan dinafikan kepada kumpulan tertentu, seperti golongan hamba dan masyarakat pribumi. Ubat-ubatan herba telah digunakan sejak beribu-ribu tahun oleh masyarakat pribumi, dan bagi golongan hamba yang dinafikan penjagaan kesihatan asas, ubat-ubatan ini menjadi penyelamat nyawa mereka.







Perubatan Herba dalam Perubatan Moden

Hari ini, penggunaan perubatan herba dalam perubatan menjadi topik hangat yang sering diperdebatkan dalam kalangan pakar perubatan moden. Walaupun terdapat bukti penggunaan ubat-ubatan berasaskan tumbuhan oleh manusia sejak zaman dahulu, sama ada melalui sejarah bertulis atau lisan, perdebatan ini masih berterusan. 

Menurut satu laporan pada tahun 2015 oleh Kerajaan Australia, para pengkaji tidak dapat mencapai sebarang kesimpulan yang jelas mengenai keberkesanan atau potensi bahaya perubatan herba ini. Kebimbangan turut timbul mengenai reaksi buruk terhadap ubat-ubatan herba kerana ia tidak melalui tahap kawalan kualiti dan peraturan yang sama ketat seperti ubat-ubatan farmaseutikal.







Kenali Seorang Pakar Herba Cannabis

Menjadi seorang pakar herba bukan sekadar mengenal pasti dan menggunakan tumbuhan. Ia memerlukan hubungan yang mendalam dan penuh penghormatan terhadap alam semula jadi.

Salah seorang pakar herba ialah Ashley Jelks, pengasas The High Priestess Herbal Wellness, sebuah kedai herba milik pakar herba berkulit hitam yang mengkhusus dalam cannabis. Beliau mencipta campuran herba menggunakan CBD dan tumbuhan lain untuk membantu pelanggannya menangani kesakitan haid, kesihatan seksual, tekanan, masalah tidur, dan banyak lagi.

Jelks dibesarkan dalam sebuah keluarga pertanian yang berakar umbi di New Orleans, sebuah tempat di Amerika yang terkenal dengan mistik dan perubatan berasaskan tumbuhan. Di sinilah dia mula mencipta campuran herba untuk dirinya dan rakan-rakannya. Jelks berterima kasih kepada pandemik COVID-19 kerana memberikan peluang dan ruang untuknya memulakan perniagaannya sendiri.

Walaupun Jelks adalah seorang pengguna cannabis, dia melihat tumbuhan ini sebagai salah satu alat dalam pelbagai pilihan yang dimilikinya. Namun, dia mengakui bahawa cannabis mempunyai tempat istimewa dalam hatinya.

"Cannabis adalah sejenis herba, satu bentuk ubat, sama seperti yang lain di rak saya," katanya. "Saya membayangkan masa depan di mana secara perlahan-lahan dan pasti, orang ramai akan semakin cenderung menggunakan tumbuhan untuk menyokong kesihatan mereka."







Persimpangan Antara Cannabis Dan Herba Tradisional

Cannabis telah digunakan oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu. Pada zaman purba, cannabis, walaupun mempunyai pelbagai kegunaan, dianggap sebagai tumbuhan biasa seperti yang lain. Terpenes dan fitokimia yang memberikan "kuasa" kepada cannabis juga boleh ditemui dalam pelbagai tumbuhan lain. Cannabis digunakan secara berasingan dan juga bersama dengan tumbuhan lain. Tumbuhan ini amat dihormati kerana kesannya terhadap semangat dan jiwa.

Tidak seperti perubatan Barat yang biasanya mencari hubungan "sebab dan akibat" dengan menggabungkan ubat dan diagnosis klinikal, perubatan herba berusaha untuk merawat bukan sahaja tubuh, tetapi juga minda dan jiwa. Cannabis mempunyai sejarah panjang dalam penyembuhan rohani dan memegang peranan penting dalam banyak upacara keagamaan dan kerohanian.

Sehingga hari ini, ramai peminat cannabis akan memberitahu anda bahawa tumbuhan ini telah menjadikan mereka seorang yang lebih penyayang dan peka. Dalam erti kata lain, ia telah membantu memperkaya jiwa mereka.

Jelks bersetuju. "Ia adalah tumbuhan yang benar-benar membantu saya jujur dengan diri sendiri. Ia mempunyai sifat yang mendorong kejujuran dalaman dan memecahkan halangan bawah sedar itu."

Dan sains akhirnya membuktikan apa yang telah lama diketahui oleh ahli herba bahawa tumbuhan dalam bentuk herba adalah ubat yang sangat berkuasa. Kajian terkini menunjukkan bahawa penggunaan cannabis boleh menjadikan anda seorang yang lebih berempati, dan itu hanyalah satu daripada banyak manfaat yang disokong oleh penyelidikan.

Kemungkinan tentang apa yang boleh dilakukan oleh tumbuhan cannabis nampaknya tiada penghujungnya, dan penyelidikan dalam bidang ini semakin berkembang pesat. Semakin banyak cannabis diiktiraf dan disahkan oleh perubatan moden, semakin besar peluang untuk penerimaan yang lebih meluas terhadap kehebatan perubatan berasaskan tumbuhan ini.







Mengintegrasikan Herba dalam Kehidupan Anda

Mungkin tanpa sedar, anda sudah pun mengamalkan beberapa aspek herba dalam kehidupan seharian. Contohnya, secawan teh pudina yang hangat untuk melegakan perut yang tidak selesa adalah sebahagian daripada perubatan herba. Begitu juga dengan menambah lebih banyak bawang putih dalam hidangan anda semasa musim selesema dan demam, atau menyapu aloe vera pada kulit yang terkena sunburn atau terbakar oleh bahang matahari. Berikut adalah beberapa idea lagi untuk anda :

Minum teh. Teh adalah salah satu bentuk perubatan herba yang paling asas dan tertua. Merendam herba dalam air panas adalah cara yang mudah dan berkesan untuk memanfaatkan manfaat perubatannya. 

Masukkan lebih banyak herba dalam makanan anda. Herba segar atau kering adalah sumber phytonutrien yang kuat yang menyokong kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan anda. 

Gabungkan campuran herba dengan cannabis yang boleh dihisap. Ini bukan sahaja akan mencipta campuran yang lebih beraroma, tetapi anda juga akan mendapat manfaat yang dibawa oleh tumbuhan-tumbuhan ini. 

Gunakan aromaterapi. Minyak pati, yang kebanyakannya terdiri daripada terpenes, adalah sejenis perubatan herba yang boleh disedut, bukan dimakan secara oral atau digunakan secara topikal. Malah bau bunga atau hutan pain adalah cara mudah untuk menghargai bagaimana alam mempengaruhi kita setiap hari.


Rujukan :

Pan, S. Y., Litscher, G., Gao, S. H., Zhou, S. F., Yu, Z. L., Chen, H. Q., Zhang, S. F., Tang, M. K., Sun, J. N., & Ko, K. M. (2014). Historical perspective of traditional indigenous medical practices: the current renaissance and conservation of herbal resources. Evidence-based complementary and alternative medicine : eCAM, 2014, 525340. https://doi.org/10.1155/2014/525340

Oyinlola Oyebode, Ngianga-Bakwin Kandala, Peter J Chilton, Richard J Lilford, Use of traditional medicine in middle-income countries: a WHO-SAGE study, Health Policy and Planning, Volume 31, Issue 8, October 2016, Pages 984–991, https://doi.org/10.1093/heapol/czw022

Koithan, M., & Farrell, C. (2010). Indigenous Native American Healing Traditions. The journal for nurse practitioners : JNP, 6(6), 477–478. https://doi.org/10.1016/j.nurpra.2010.03.016

Ekor M. (2014). The growing use of herbal medicines: issues relating to adverse reactions and challenges in monitoring safety. Frontiers in pharmacology, 4, 177. https://doi.org/10.3389/fphar.2013.00177

Vigil, J.M., Stith, S.S. & Chanel, T. Cannabis consumption and prosociality. Sci Rep 12, 8352 (2022). https://doi.org/10.1038/s41598-022-12202-8



Post a Comment

To Top