Kisah Debs : Selepas 40 tahun dalam Bidang Kejururawatan, Cannabis Perubatan Bantu Tangani MS





Ini Kisah Deborah/Debs: Perjalanan dalam Kejururawatan dan Diagnosis MS

Pengalaman sebenar Deborah/Debs di mana Cannabis Perubatan Bantu Tangani MS.

Sebagai seorang jururawat tentera yang telah beralih kerjaya menjadi psikoterapis, Debs telah mengabdikan berdekad-dekad hidupnya untuk menjaga kesejahteraan orang lain. Sepanjang perjalanan hidupnya, dia telah menyaksikan pelbagai 'pertempuran'. Namun, beberapa tahun lalu, dia berhadapan dengan cabaran paling sukar dan peribadi dalam hidupnya, dia didiagnosis dengan multiple sclerosis(MS).

Debs berjuang melawan Multiple Sclerosis (MS) dengan segala cara yang ada padanya, ubat penahan sakit preskripsi yang kuat, rutin senaman yang ketat, dan diet yang sihat. Namun, kelegaan sebenar daripada simptom-simptomnya masih sukar dicapai. Aktiviti harian yang mudah, serta usaha untuk terus menawarkan sesi rawatan dalam talian kepada pesakit, semakin menjadi sumber kekecewaan.







Cabaran Menguruskan MS dan Pengenalan kepada Cannabis Perubatan

Kemudian, Debs menghubungi sebuah klinik perubatan cannabis. Sejak itu, dia perasan perubahan dalam tahap keletihan dan kesakitannya. Dia merasakan rawatan cannabis yang diberikan kepadanya telah membantunya mendapatkan semula kawalan terhadap simptom MS yang dialaminya.

Berikut ialah perkongsian beliau melalui sesi soal-jawab yang dijalankan terhadap beliau.

Soal Jawab :

Soalan : Boleh ceritakan sedikit tentang diri anda dan keadaan kesihatan yang telah didiagnosis kepada anda?

 Deborah : Saya pernah berkhidmat sebagai jururawat dalam tentera selama 22 tahun. Selepas itu, saya bekerja dalam bidang perlindungan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga selama 10 tahun. Ketika berusia 52 tahun, saya mula melatih diri untuk kerjaya ketiga dalam bidang psikoterapi, dan saya sangat menyukai apa yang saya lakukan. Kerja saya sentiasa menjadi keutamaan dalam hidup saya.

Saya telah didiagnosis dengan trigeminal neuralgia kira-kira 10 tahun yang lalu apabila doktor menemui enam kawasan kerosakan tisu pada otak saya. Kemudian, kira-kira tiga tahun yang lalu, saya didiagnosis dengan MS atau Multiple Sclerosis. Nampaknya, agak jarang untuk mengalami kedua-dua keadaan ini serentak.

Saya sudah lama mengesyaki bahawa saya menghidap MS sebelum disahkan. Sebagai seorang jururawat dengan pengalaman 40 tahun, saya tahu bagaimana mengenali simptomnya, saya sering terjatuh dan mengalami kesakitan sepanjang masa. Suatu hari, saya berbincang dengan pakar neurologi saya dan terus terang bertanya jika saya menghidap MS. Kami menjalankan pelbagai ujian, dan hasil MRI menunjukkan bahawa kini terdapat 11 lesi atau kerosakan tisu pada otak saya, lima lebih banyak daripada sebelumnya. Syukurlah, tidak lebih daripada itu.

Apabila saya mula-mula didiagnosis dengan MS, saya benar-benar terkejut. Ini kerana saya pernah melihat kes-kes yang teruk semasa bekerja sebagai jururawat dalam tentera dahulu. Akhirnya, saya menyedarkan diri sendiri dan berfikir, "Baiklah, Debs, ayuh. Kamu perlu hadapi ini!"

Kesakitan yang saya alami memang teramat sangat. Saya mengalami kejutan elektrik yang kuat pada lengan, kaki, tangan, dan jari. Penglihatan saya menjadi berganda, dan kaki saya terasa kebas, menyebabkan saya sering terjatuh - berjalan seperti itik mabuk. Saya benar-benar terhuyung-hayang dan melanggar orang di sekeliling.

Yang membuatkan saya kecewa ialah walaupun saya telah melakukan segala yang mungkin untuk kekal sihat, seperti menyertai CrossFit, yoga, berjalan-jalan, dan mengamalkan diet rendah karbohidrat, rendah gula, serta gaya hidup yang mengurangkan keradangan, saya masih tidak melihat sebarang kemajuan.







Pengalaman Debs dengan Rawatan Cannabis Perubatan


Soalan : Apakah jenis rawatan yang pernah anda cuba untuk menguruskan simptom MS anda? 

Deborah : Apabila saya secara rasmi didiagnosis dengan MS, pakar neurologi menyarankan saya untuk membeli tongkat, dan ia memang membantu. Saya juga diberikan pelbagai jenis ubat, dan saya telah mencuba kebanyakan ubat anti-epileptik seperti carbamazepine dan gabapentin. Namun, kesan sampingannya agak teruk - saya sering berasa pening dan kepala terasa kabur.

Seperti yang saya nyatakan, saya bekerja dari rumah sebagai seorang psikoterapis dan saya pakar dalam menangani trauma. Oleh itu, tidak dapat berfikir dengan jelas semasa sesi terapi adalah masalah besar bagi saya. Dengan pengambilan ubat-ubatan yang berat, saya sering merasa tidak selesa. Malah, berat badan saya bertambah lebih daripada 9 kilogram, walaupun saya kerap bersenam dan menjalani latihan beban dua kali seminggu.

Pada bulan Oktober yang lalu, saya akhirnya berhenti sepenuhnya daripada mengambil gabapentin dan semua ubat penahan sakit anti-epilepsi. Saya ikut arahan pakar neurologi saya, tetapi ia tetap sangat mencabar. Rasanya seperti berhenti secara mendadak, dengan mengalami simptom-simptom yang teruk, ianya memang menyeksakan. Nasib baik, pada masa itu saya sudah diperkenalkan dengan pelan rawatan perubatan cannabis melalui sebuah klinik, yang menjadikan segalanya lebih mudah.


Soalan : Dan, bagaimana anda mula-mula menemui rawatan perubatan cannabis? 

Deborah : Semuanya bermula apabila pengajar yoga saya mencadangkan sebuah klinik perubatan cannabis yang berpusat di London. Namun, ulasan tentang klinik tersebut kurang memuaskan. Jadi, saya meluangkan masa berjam-jam untuk membuat kajian mendalam. Saya teliti setiap maklumat, dan akhirnya, klinik yang saya pilih ternyata yang terbaik di antara semuanya.

Saya membuat temu janji, menjalani konsultasi, dan kerana diagnosis MS saya, saya mudah diterima sebagai pesakit cannabis perubatan.

Sebagai seorang jururawat, saya sememangnya sangat teliti mengenai penjagaan kesihatan saya. Saya perlu dapat berkerjasama dengan doktor dan kakitangan dengan baik. Pengalaman pertama saya di klinik tersebut sangat positif dan memuaskan.


Soalan : Bagaimana rawatan yang anda terima sesuai dengan kehidupan harian anda? 

Deborah : Rutin dos saya telah dirancang dengan kerjasama beberapa doktor di klinik. Saya menjalani konsultasi susulan hampir setiap bulan dan menerima banyak nasihat daripada doktor-doktor tersebut. Namun, keputusan akhir mengenai pelan rawatan adalah di tangan saya sendiri.

Saya mula menggunakan minyak cannabis perubatan, hanya sedikit sahaja, dua kali sehari. Walaupun dosnya kecil, ia memberikan perubahan besar kepada simptom kesakitan saya hanya selepas beberapa hari.

Setiap pagi, sekitar jam 8, saya mengambil minyak cannabis saya. Selepas itu, saya tidak mengambil apa-apa lagi sehingga waktu tidur, dan ini membantu saya melalui malam dengan tenang. Walaupun saya tidak menghadapi masalah untuk tidur kerana keletihan akibat MS, minyak ini sangat membantu mengurangkan kesakitan yang saya alami. Saya sedar bahawa ramai yang menggunakan cannabis perubatan untuk masalah insomnia, tetapi ia juga sangat berkesan untuk mengatasi keletihan kronik. Dahulu, saya sering merasa seperti sedang meredah lumpur setiap hari, tetapi kini perasaan itu jarang sekali muncul.

Saya pernah mencuba menghisap bunga cannabis perubatan, tetapi kini saya hanya menggunakan minyaknya sahaja. Kesukaran bagi saya adalah, disebabkan banyak masa yang dihabiskan dalam tentera, saya mengalami arthritis yang agak teruk di tangan dan lutut. Jadi, menggunakan pengisar menjadi agak sukar. Minyak cannabis ini sangat mudah digunakan. Saya hanya perlu mengukur dos tepat sebanyak 0.2 mililiter dan meletakkannya di bawah lidah. Memang semudah itu!

Jika saya tidak bekerja sebagai ahli psikoterapi, saya mungkin akan mengambil dos yang lebih tinggi. Namun, buat masa ini, 0.2 mililiter sudah cukup untuk menghilangkan kesakitan tanpa menjejaskan pemikiran saya. Seperti yang saya katakan, saya perlu kekal jernih dan fokus untuk tugas saya.







Persepsi dan Stigma Terhadap Penggunaan Cannabis Perubatan


Soalan : Adakah anda pernah berdepan dengan stigma atau kebimbangan daripada orang lain?

Deborah : Penghantaran dari klinik saya tiba dalam kotak coklat, dan tiada siapa yang tahu apa yang ada di dalamnya. Ia sangat rahsia, dan itu memang bagus. Namun, saya tiada masalah untuk berkongsi tentang rawatan saya dengan orang lain - malah dengan pesakit saya sendiri. Saya sedar bahawa rawatan ini membantu saya dan juga ramai orang lain, termasuk ribuan kanak-kanak yang menghidap epilepsy. Saya telah membaca kajian-kajian tersebut.

Reaksi yang saya terima biasanya sangat positif. Saya jarang membangkitkan topik ini, tetapi klien saya tahu bahawa saya menghidap MS. Jadi, jika ada yang bertanya tentang ubat-ubatan saya, saya tidak keberatan untuk berkongsi bahawa saya menggunakan cannabis perubatan. Secara umumnya, maklum balas yang saya terima sangat positif - malah daripada mereka yang lebih berusia. Ramai orang kini mula membaca lebih banyak tentang cannabis perubatan dan mendengar betapa bermanfaatnya ia untuk mereka yang mengalami keadaan kronik.







Nasihat Debs untuk Penghidap MS yang Ragu-ragu


Soalan : Apakah nasihat yang boleh anda berikan kepada seseorang dengan MS yang mungkin ragu-ragu terhadap rawatan berasaskan cannabis? 

Deborah : Kita semua tahu, ramai orang tidak suka mengambil ubat. Namun, ada kalanya kita perlu, dan ada masanya kita terpaksa. Secara peribadi, saya lebih suka mengambil minyak cannabis perubatan berbanding semua ubat anti-epilepsi yang kuat itu. Saya faham bahawa ada orang yang perlu mengambil ubat-ubatan tersebut, tetapi saya telah menggunakannya selama bertahun-tahun, dan ia terlalu membebankan.

Cannabis perubatan telah membawa perubahan besar dalam kualiti hidup harian saya, dan kini saya berasa jauh lebih gembira. Walaupun saya menghidap MS dan simptomnya boleh jadi sangat teruk, minyak cannabis telah memberikan kesan yang ketara. Saya berasa bangga dan lega kerana tidak lagi perlu bergantung pada gabapentin atau mana-mana ubat anti-epilepsi lain yang telah saya cuba selama bertahun-tahun.

Jawapannya mungkin berbeza bagi setiap individu, tetapi rawatan saya berjaya menangani semua simptom saya sekaligus. Kini, saya akan sentiasa menggunakan cannabis perubatan untuk MS saya. Saya rasa sangat lega kerana kini saya lebih dapat mengawal keadaan saya.

Kuncinya ialah : Penyakit saya kini lebih terkawal berbanding sebelum ini.



Post a Comment

To Top