Kisah Charles : Seorang Askar, Pembina Mahir, Seorang Ayah yang Kini Jadi Kisah Kejayaan Cannabis Perubatan





Kehidupan Charles di Cornwall

Charles adalah seorang pembina mahir, veteran Tentera Diraja, dan kini seorang bapa baru yang hidup di luar grid di Cornwall. Dia juga merupakan salah seorang daripada semakin ramai pesakit yang tidak lagi melihat cannabis dengan stigma, tetapi sebagai sebahagian komponen yang penting dalam menjaga kesihatan tubuh dan minda.

Selama bertahun-tahun, dia bertahan dengan tekad, rutin harian, dan apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Sama seperti ramai lagi orang lain, dia telah menggunakan cannabis jauh sebelum ia diiktiraf secara sah. Namun, yang benar-benar mengubah segalanya bukanlah tumbuhan itu sendiri, tetapi peluang untuk masalahnya didengari dengan serius : seorang doktor yang benar-benar mendengar dan memahami. Selepas bertahun-tahun mengalami kesakitan dan menemui jalan buntu dalam NHS, Charles mengatakan bahawa preskripsinya adalah permulaan kepada pemulihan yang berbeza.

Dalam perbualan ini, Charles berkongsi dengan jelas tentang trauma, kecederaan, dan ketahanan diri. Dia merenung kembali pengalaman dilanggar, ketakutan memegang bayi yang baru lahir dengan bahu yang mungkin tidak mampu menahan, serta kelegaan yang tenang apabila berhenti mengambil antidepresan yang tidak pernah diingininya. Charles juga bercerita tentang pengesahan yang diberikan oleh kad perubatan cannabisnya, rutin penyesuaian dos yang dilaluinya, dan keselesaan beralih kepada penggunaan vaporiser.

Ini bukanlah kisah seseorang yang lari dari masalah. Sebaliknya, ini adalah cerita yang menonjolkan maruah, tanggungjawab, dan apa yang berlaku apabila seseorang yang akhirnya diberi peluang untuk menguruskan penjagaan diri dengan pilihan rawatan yang didapati berkesan.

Boleh ceritakan sedikit tentang diri anda, dan apakah perkara yang memberi anda kegembiraan atau ketenangan? Saya tinggal di Cornwall bersama keluarga saya, dan anak perempuan saya baru sahaja dilahirkan empat minggu yang lalu.

Kami menjalani kehidupan yang sederhana. Impian kami adalah untuk hidup secara mandiri, jauh dari hiruk-pikuk kota. Buat masa ini, kami tinggal dalam karavan besar ala Amerika yang kelihatan seperti rumah. Anda sendiri pun tahu bagaimana rupa dan keadaannya. Langkah seterusnya adalah membeli sebidang tanah dan hidup berdikari di atasnya.

Itulah sebabnya kami memilih untuk tinggal di kawasan yang cerah ini. Isteri saya menanam bunga sebagai sumber rezeki, jadi cahaya matahari memang penting bagi kami. Saya pula seorang pembina mahir. Dengan kepakaran dalam lebih daripada lapan bidang, saya menguruskan perniagaan sendiri. Sekarang ini, saya sedang melakukan kerja-kerja bumbung, tetapi setiap minggu, tugas saya boleh berubah.

Saya suka bangun pagi dengan bunyi burung berkicauan. Tempat tinggal kami tenang dan damai. Saya berpindah dari London ke Cornwall untuk menikmati kehidupan yang lebih sederhana.







Pengalaman Charles dengan Kesakitan dan Rawatan

Dan apakah cabaran kesihatan yang anda hadapi sepanjang tahun-tahun ini? Saya bekas tentera, jadi badan saya telah melalui pelbagai mimpi ngeri. Saya mengalami kesakitan di merata tempat. Badan saya separuh rosak. Semasa di dalam tentera, saya pernah mengalami kejadian di mana jari saya terpaksa dijahit semula. Saya juga pernah ditembak di kaki, dan saya sudah terbiasa menyelesaikan masalah tanpa perlu berjumpa dengan pegawai perubatan.

Saya selalu skeptikal terhadap ubat farmaseutikal (dan juga doktor, hingga tahap tertentu) kerana, berdasarkan pengalaman saya, mereka seolah-olah hanya mahu memberikan ubat tanpa benar-benar memahami apa yang sebenarnya berlaku. Setiap kali, perkara pertama yang mereka cadangkan adalah antidepresan. Namun, saya sebenarnya tidak mengalami kemurungan. Bukanlah saya ingin mengatakan bahawa kesihatan mental saya sentiasa sempurna, tetapi masalah utama saya sebenarnya adalah kesakitan.

Setiap kali saya berjumpa dengan doktor, mereka selalu bertanya soalan yang nampak remeh dan tak berkaitan dengan keadaan saya sekarang. Saya ke klinik sebab ada sakit kronik di lengan dan bahu. Bila sakit datang, saya terpaksa teruskan juga. Kalau saya tak bekerja, saya tiada pendapatan.

Saya telah berusaha menangani kesakitan saya dengan cannabis selama kira-kira 20 tahun. Namun, setelah menjadi seorang ayah baru-baru ini, saya ingin mencari jalan yang lebih selamat dan sah di sisi undang-undang. Penting bagi saya untuk memastikan ia sah. Sama pentingnya, saya mahu hidup dengan gembira. Itu sahaja. Saya hanya perlukan seseorang dan sesuatu yang benar-benar dapat membantu saya, dan doktor saya telah menjadi penyelamat dalam hidup saya.

Sejujurnya, walaupun ia sangat berkesan untuk mengurangkan kesakitan, ia juga memberikan manfaat yang besar kepada kesihatan mental saya. Percayalah, hanya dengan memiliki kad itu dalam poket saya, cara hidup saya sudah berubah sepenuhnya. Memiliki kad perubatan cannabis telah membantu menghilangkan perasaan bersalah, terutamanya sebagai seorang ayah baru, iaitu perasaan bersalah bila berubat menggunakan cannabis: oh! saya sedang melakukan sesuatu perkara yang 'salah'.

Jadi saya tak boleh cakap buruk tentang kamu semua!







Peralihan kepada Cannabis Perubatan

Bagaimana rasanya dapat berbincang secara terbuka tentang cannabis dengan seorang profesional perubatan? Ia adalah pengalaman yang agak baru untuk bercakap tentang cannabis dengan seseorang yang benar-benar pakar. Kali terakhir saya berbincang dengan doktor peribadi saya, kira-kira dua bulan yang lalu, saya menyatakan hasrat untuk mencuba cannabis perubatan. Reaksinya agak jelas, dia terus berkerut dahi dan berkata sesuatu seperti, "Eh, merokok tidak baik untuk kesihatan. Anda perlu berhenti."

Dan saya berkata, "Tapi anda dengan senang hatinya berikan saya antidepresan/ubat anti kemurungan?" Ia langsung tidak masuk akal bagi saya.

Kali pertama saya cuba berhenti merokok, saya mungkin dalam lingkungan usia 20-an. Saya pergi berjumpa doktor, dan mereka memberikan saya tablet untuk berhenti merokok. Namun, kesan sampingan pertama yang saya alami ialah kecenderungan untuk berfikir tentang bunuh diri. Adakah ia membantu saya? Langsung tidak. Inilah salah satu sebab mengapa saya kebanyakannya menentang pilihan rawatan farmaseutikal.

Mereka dengan senang hati memberikan kita pil farmaseutikal yang sah melalui preskripsi, kerana ia adalah ubat yang diiktiraf. Namun, apabila berkaitan dengan sesuatu seperti cannabis perubatan, yang sebenarnya sama baik atau mungkin lebih baik untuk sesetengah orang, mereka memandangnya dengan rasa kurang senang. Cannabis perubatan ini adalah sesuatu yang semulajadi dan organik, tetapi masih ada yang skeptikal terhadapnya.

Saya sedang membaca maklumat mengenai sebuah fasiliti iaitu Glass Pharms yang menghasilkan cannabis perubatan, dan cara mereka menyediakannya memang mengagumkan. Bayangkan, tiada sebarang pencemaran! Udara di sana sangat bersih. Sistem penapisannya begitu canggih, hampir sama seperti dalam bilik pembedahan!

Boleh anda terangkan bagaimana rawatan anda membantu dalam kehidupan harian anda? Saya pernah beritahu kepada perunding saya yang lepas, kesan dan kelegaan yang saya rasai lebih pantas berbanding mana-mana pilihan farmaseutikal yang pernah diberi kepada saya sebelum ini. Rasanya. saya tak pasti perkataan yang tepat, mungkin lebih "terpusat"?

Kerana ia berada dalam vaporiser, ia memberikan kesan yang pantas dan segera, berbanding dengan perlu menggulung rokok ganja dan sebagainya. Ini sangat membantu saya pada waktu malam, kerana kesannya yang begitu cepat membolehkan saya tidur hampir serta-merta. Dahulu, ketika saya mengubati diri sendiri dengan ganja jalanan atau mengambil ubat farmaseutikal, saya terpaksa menunggu setengah jam hingga 45 minit untuk dapat tidur semula.

Ia telah membantu saya tidur dengan lebih nyenyak di mana sehingga kini saya dapat bangun pagi dengan rasa yang segar. Percayalah, sudah bertahun-tahun saya tidak merasakannya.

Vape ini memang pilihan yang tepat kerana ia sangat mudah dibawa ke mana-mana tanpa menarik perhatian. Bayangkan jika saya keluar dan menghisap sebatang joint, pasti bau itu akan melekat pada saya. Pasangan saya tidak merokok, jadi dia sangat peka dengan bau tersebut. Namun, apabila saya pulang selepas menggunakan vape, perkara yang isteri saya perasan hanyalah aroma blueberry yang menyenangkan.

Saya menguruskan perniagaan sendiri, dan ini bermakna ada hari-hari di mana saya perlu menggagahkan diri dan teruskan juga. Saya melakukan segala-galanya, dari kerja-kerja memasang bumbung hingga projek pembinaan penuh. Namun, ada juga hari-hari di mana kesakitan menjadi pengemudi utama, tetapi saya tetap perlu meneruskan langkah.

Tetapi pada hari-hari yang teruk, cannabis perubatan saya benar-benar membantu, kerana sekali lagi, ia adalah sesuatu yang cepat.

Perkara utama yang ingin saya tekankan adalah kesihatan mental. Bantuan untuk mengurangkan kesakitan memang hebat, tetapi percayalah, sokongan untuk kesihatan mental menjadikan penawar kesakitan itu lebih berkesan. Ia benar-benar mengubah hidup saya. Apabila minda saya berada dalam keadaan yang baik dan sihat, saya dapat mengatasi kesakitan dan tekanan dengan lebih mudah.







Cabaran dengan Sistem Kesihatan

Bagaimana pengalaman anda mendaftar dan memulakan rawatan dengan doktor berbanding dengan pengalaman anda bersama NHS? Untuk layak mendapatkan rawatan perubatan cannabis melalui doktor, anda perlu mencuba dua pilihan rawatan konvensional terlebih dahulu (saya rasa ini adalah syarat yang adil), tetapi saya sudah mencuba tiga, jadi tiada masalah bagi saya. Sebaik sahaja doktor saya menerima rekod perubatan saya, segala-galanya berjalan dengan pantas, semuanya sangat mudah dan lancar.

Pada mulanya, saya agak bimbang untuk membuat pembelian, tetapi itu hanyalah pengalaman pertama saya. Kini, saya sedar bahawa saya boleh membeli ubat saya sendiri, sebanyak atau sesedikit yang saya perlukan sepanjang bulan, tanpa perlu membayar dalam jumlah yang besar sekaligus. Seperti yang anda boleh bayangkan, dengan adanya anak kecil, wang tidaklah datang begitu mudah.

Saya faham bahawa NHS sedang mengalami tekanan. Namun, saya terpaksa pergi ke klinik selama lima hari berturut-turut hanya untuk mendapatkan rekod perubatan saya. Ini semua supaya saya boleh memulakan proses pendaftaran dengan doktor saya.

Pada awalnya, masalah bahu saya baru sahaja bermula, dan ketika itu, doktor hanya memberikan saya lebih banyak ubat penahan sakit. Itu sahaja. Percaya atau tidak, selepas enam bulan, saya masih belum menjalani sesi fisioterapi pertama saya dengan NHS. Jadi, apa yang sepatutnya saya lakukan sementara menunggu? Menggigit kayu?

Kesakitan di bahu ini sudah bertahun-tahun saya alami. Semuanya bermula apabila saya dilanggar dan secara refleks, saya mengangkat tangan untuk melindungi diri. Akibatnya, kedua-dua bahu saya terkehel. Namun, pada masa itu, doktor tidak memeriksa bahu saya dengan teliti kerana saya mengalami kecederaan yang lebih teruk. Pelvis saya patah di dua tempat. Dan muka saya penuh dengan serpihan kaca, iaitu sebanyak 48 keping! Sebab itulah rupa saya jadi ‘menarik’…

Semasa dalam tentera, saya mengalami kecederaan pada bahagian yang sama sekali lagi. Ketika cuba menyelamatkan seseorang daripada terjatuh dari trak, otot bisep saya tercedera teruk sehingga terpisah dari tulangnya. Bahu, sendi, bisep, dan rotator saya, semuanya jadi bermasalah.

Dan apakah pendekatan NHS terhadap perkara itu? Hanya tablet sahaja. Pada dasarnya, ia seperti sekadar melepaskan tanggungjawab.

Saya pergi berjumpa doktor, dan dia berkata, "Lihat, saya boleh berikan semua ubat penahan sakit yang awak mahu, tetapi jika awak teruskan kerja seperti biasa, masalah itu takkan hilang." Saya pun menjawab, "Tapi doktor tak pernah pun periksa betul-betul. Tiada imbasan. Tiada X-ray. Tiada rujukan." Lalu saya bertanya, "Boleh tak doktor rujuk saya kepada seseorang yang boleh betul-betul periksa dalaman saya?"

Dia berkata, "Tidak, anda perlu tanya fisioterapi."

Pada ketika itu, saya sudah menunggu selama tiga bulan untuk mendapatkan temujanji fisioterapi. Di situlah saya sedar bahawa sudah tiba masanya untuk benar-benar meneroka pilihan alternatif yang ada. Syukurlah, akhirnya saya bertemu dengan seorang pengamal perubatan yang berpengalaman.







Harapan dan Perubahan Persepsi

Apa yang anda ingin orang lain pelajari daripada kisah anda? Sebenarnya, penggunaan cannabis secara sah masih dianggap tabu di negara ini. Malangnya, kita masih perlu melalui pelbagai rintangan. Namun, usaha tersebut sangat berbaloi!

Jadi, cerita saya ini untuk sesiapa yang sedang mempertimbangkan perkara ini. Selidiklah dengan lebih mendalam. Percaya atau tidak, saya sudah berkongsi dengan dua atau tiga orang klien saya tentang perubatan cannabis. Dan yang menariknya, mereka ini adalah golongan warga emas, dan mereka sendiri yang menghubungi doktor mereka.

Alangkah baiknya jika lebih mudah bagi orang ramai untuk mengaksesnya. Diharapkan, dengan berlalunya masa, ia akan menjadi kenyataan. Saya dapat melihat bahawa para doktor sedang berusaha keras untuk memimpin perubahan ini.

Kerana malangnya, setiap kali sesetengah orang mendengar perkataan 'weed' atau ganja, mereka terus terbayang golongan remaja nakal yang suka membuat kacau. Namun, hakikatnya, ia bukan begitu lagi.

Pasangan saya juga sangat memuji doktor saya. Dia pun turut merasa tertekan. Di kawasan tempat tinggal kami, ramai yang mengadu tentang bau dan segala macam perkara. Apabila tuan rumah datang ke pintu, saya berkata, "orang lain yang mengambilnya di sini semuanya secara haram. Saya mungkin satu-satunya yang mengambilnya secara sah."

Dia tidak percaya, sehingga saya tunjukkan kad itu. Dia berkata, "Saya tak tahu awak dibenarkan mengambilnya."

Saya berkata, "Nah, sekarang awak sudah belajar sesuatu."

Saya bangga menjadi duta cannabis perubatan.



Post a Comment

To Top